SHAH ALAM, 22 APRIL: Kaedah analisis data digunakan Kerajaan Negeri bagi mengenal pasti kumpulan sasar untuk menjalani saringan Covid-19 membuahkan hasil yang baik, kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor berkata langkah dilaksanakan itu dengan mencari lagi kes menggunakan data dikumpul melalui beberapa cara selain usaha Kementerian Kesihatan membendung wabak tersebut menghasilkan keputusan baik.
“Kita melakukan analisis secara data terpilih, (selepas itu) kita fokus pada saringan, (data) antaranya bertanya maklumat kepada individu positif (Covid-19), malah di kawasan zon merah menjuruskan fokus kepada parameter lain.
“Ini termasuk faktor umur terutama mereka yang ada penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan barah, selain kanak-kanak serta wanita di peringkat umur produktif,” katanya dalam temubual bersama Astro Awani malam tadi.
Bekas Menteri Kesihatan itu berkata analisis data dilakukan penting bagi memastikan saringan dijalankan secara bersasar supaya kumpulan tersebut diberi tumpuan khusus untuk diberikan rawatan awal.
“Melalui data ini kita akan dapat melihat dengan lebih pantas untuk mengesan kes aktif. Ujian dijalankan melalui teknik Tindak Balas Berantai Polimeras Masa Nyata (rt-PCR),” katanya.
Minggu lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata saringan komuniti dijalankan di Hulu Langat mengesan penduduk dijangkiti Covid-19 tetapi tidak menunjukkan gejala serangan.
Daripada 649 orang disaring pada 11 dan 12 April lalu, empat daripada lima yang didapati positif virus berkenaan tiada tanda penyakit atau simptom.
Pada 11 April lalu, Kerajaan Negeri memulakan saringan besar-besaran Covid-19 dari rumah ke rumah bagi memutuskan rantaian wabak itu manakala Sabtu lalu, saringan wabak berkonsepkan pandu lalu secara percuma dijalankan khusus untuk warga emas dan individu yang mempunyai simptom seperti demam, selesema, batuk dan sakit tekak.