SHAH ALAM, 14 APRIL: Pelaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) e-bazar Ramadan akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet esok, kata menteri kanan (kluster keselamatan).
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini berikutan terdapat kekeliruan dalam kalangan sesetengah pihak terhadap konsep e-bazar yang mana mengikut kaedahnya pembeli hanya perlu memesan makanan dan penghantaran akan dilakukan ke lokasi mereka.
Katanya, sekiranya pembeli memesan dan keluar dari rumah untuk mengambil makanan, ini akan menyebabkan berlakunya pergerakan secara besar-besaran.
“Esok kita akan bangkitkan dalam mesyuarat Kabinet. Kita akan tentukan apa yang boleh dan apa tak boleh. Ideanya adalah supaya rakyat tak boleh memberi alasan untuk keluar.
“Bila sekatan jalan raya, mereka beri alasan ‘saya tempah barang jadi nak pergi ambil’. Jadi semua orang akan guna alasan yang sama,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya hari ini.
Sementara itu beliau berkata kerajaan akan menguatkuasakan Skim Harga Maksimum PKP bermula esok hingga 28 April dan langkah itu bagi memastikan harga 12 barangan dan keperluan harian seperti ayam, telur ayam, minyak masak tepung gandum, kubis dan ikan kembung dapat dikawal.
“Perincian mekanisme skim harga ini akan diumumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
“Kerajaan sentiasa mendengar keluh kesah rakyat mengenai sikap peniaga yang tidak bertanggungjawab menaikkan harga barangan keperluan sewenangnya,” katanya.