Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSJ, Seldec jalin kerjasama bangun e-bazar Ramadan, Raya

SHAH ALAM, 23 MAC: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di negeri ini membangunkan e-Bazar Ramadan dan Raya tahun ini.

Timbalan pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik berkata inisiatif itu dilaksana dengan kerjasama Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (Seldec) menerusi platform e-dapur.

“Bagi merealisasikan perniagaan ini MBSJ sediakan kursus platform e-bazar Ramadan selama tiga hari bermula 25 hingga 27 Mac ini di Dewan Serbaguna MBSJ, Taman Puchong Indah.

“Usaha ini bertujuan membantu belia menjana pendapatan dalam situasi norma baharu sekali gus menggalakkan penyertaan lebih ramai peniaga dalam talian serta sebagai penghantar makan MBSJ/Seldec,” kata Azfarizal Abdul Rashid dalam kenyataan.

Beliau berkata kursus itu memfokuskan pengenalan kepada e-bazar, transaksi secara dalam talian, peluang pekerjaan sebagai penunggang Seldec dan pinjaman kredit Yayasan Hijrah Selangor.

Terhad kepada 100 orang dengan yuran penyertaan hanya RM15. Berikut tentatif kursus berkenaan:

25 Mac 2021 (Khamis)
Siri 1 : 9.00 pagi – 10.30 pagi
Siri 2 : 11.00 pagi – 12.30 tengah hari
Siri 3 : 2.00 petang – 3.30 petang
Siri 4 : 3.30 petang – 5.00 petang

26 Mac 2021 (Jumaat)
Siri 1 : 9.00 pagi – 10.30 pagi
Siri 2 : 11.00 pagi – 12.30 tengah hari

27 Mac 2021 (Sabtu)
Siri 1 : 9.00 pagi – 10.30 pagi
Siri 2 : 11.00 pagi – 12.30 tengah hari
Siri 3 : 2.00 petang – 3.30 petang
Siri 4 : 3.30 petang – 5.00 petang

Categories
EXCO SELANGOR

E-Bazar Ramadan Selangor catat jualan lebih RM500,000 – EXCO

SHAH ALAM, 15 MEI: Jualan makanan yang dipasarkan peniaga e-Bazar Ramadan menerusi saluran Grab Selangor mencecah RM564,855.24 setakat ini, kata EXCO usahawan.

Rodziah Ismail berkata ia susulan keberkesanan strategi pemasaran yang dijalankan syarikat penyedia perkhidmatan itu sepanjang tempoh pelaksanaan e-Bazar Ramadan bermula 24 April hingga 12 Mei lalu.

“Pembeli tidak berdepan masalah menggunakan saluran e-dagang ini untuk menempah menu berbuka puasa.

“Namun, terdapat beberapa lokasi yang agak kurang pembeli terutama di kawasan pinggir bandar kerana kurang kesedaran pengguna berhubung pembelian secara dalam talian,” katanya ketika mengulas sambutan perkhidmatan itu kepada SelangorKini.

Beliau bagaimanapun berkata sebaliknya pula berlaku ke atas sambutan pembelian melalui Platform Selangor (Plats) yang dilihat perlahan memandangkan saluran e-dagang khas itu masih baharu dan diwujudkan semasa pelaksanaan dapur berpusat selain kekangan tempoh pemasaran.

“Cabaran mendapatkan peniaga agak sukar di peringkat awal kerana ia cara baharu yang menjadi persoalan kepada peniaga adakah cara ini berhasil atau tidak,” katanya.

Selangor menyediakan 200 ruang untuk peniaga menjual juadah berbuka puasa dengan pendaftaran dibuka sehingga akhir minggu pertama Ramadan lalu.

Dua saluran e-dagang iaitu Grab Selangor dan Platform Selangor (Plats) dipilih dengan penghantaran tempahan dikendali syarikat penghantar seperti Grab, BungkusIt, Mr Speedy, Zepto Express dan MatDespatch.

Categories
AGENSI SELANGOR

Pelanggan e-Bazar Ramadan meningkat, ramai peniaga berminat sertai

SHAH ALAM, 6 MEI: Program e-Bazar Ramadan mendapat sambutan menggalakkan dengan jumlah pelanggan membeli juadah berbuka puasa semakin meningkat, kata Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor.

Justeru, pemerbadanan berharap sambutan orang ramai itu berterusan walaupun pelanggan sudah mempunyai pilihan selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD) dilaksanakan.

“MBI turut menerima permintaan dari peniaga untuk sertai e-dapur namun terpaksa dihadkan atas faktor penempatan.

“Setakat ini 133 peniaga sudah menyertai e-dapur ini membabitkan 10 lokasi selain beberapa restoran dijadikan pusat pengumpulan makanan,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

E-dapur kini beroperasi di Ampang, Bangi, Semenyih, Sepang, Damansara, Klang, Petaling Jaya, Puchong, Seri Kembangan dan Subang Jaya. Lokasi ke-11 di Batu Caves akan beroperasi Khamis ini.

Pada 24 April lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan penyediaan 200 ruang untuk peniaga menjual juadah berbuka puasa melalui dua saluran e-dagang, Grab dan Platform Selangor (Plats) dengan penghantaran dibuat melalui Grab, BungkusIt, Mr Speedy, Zepto Express dan MatDespatch.

Pratempahan bermula 10 malam hingga 1 tengah hari manakala pesanan dalam talian dibuka bermula 2.30 sehingga 5.30 petang.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Jualan luar jangka, peniaga e-bazar Ramadan raih RM1,000 sehari

PETALING JAYA, 4 MEI: Rata-rata peniaga e-bazar Ramadan yang menjual juadah berbuka puasa secara dalam talian di negeri ini memperoleh pendapatan lebih RM1,000 sehari, kata ketua pegawai eksekutif Yayasan Hijrah Selangor.

Normaiza Yahya berkata usaha tersebut sekali gus mencapai matlamat Kerajaan Negeri untuk meningkatkan pendapatan peniaga yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah penularan Covid-19.

“Hasil jualan lebih 70 peniaga yang menyertai inisiatif e-bazar di 10 lokasi e-dapur amat menggalakkan dan nilai jualan di luar jangkaan kita.

Penghantar makanan perlu mengimbas kod QR data peribadi sebelum mengambil makanan yang ditempah melalui Plats dan Grab di e-dapur Bandar Utama, Damansara pada 4 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Ini membuktikan perniagaan makanan tradisional boleh dipasarkan secara dalam talian, malah membuka minda peniaga yang tidak pernah menjual melalui kaedah ini,” katanya kepada SelangorKini di lokasi e-dapur di Bandar Utama, Damansara hari ini.

Normaiza berkata peniaga yang mengalami masalah modal turut ditawarkan pinjaman RM5,000 tanpa faedah bagi memastikan perniagaan berjalan lancar.

Setakat ini terdapat 10 lokasi e-dapur yang beroperasi iaitu Ampang, Bangi, Semenyih, Sepang, Damansara, Klang, Petaling Jaya, Puchong, Seri Kembangan dan Subang Jaya. Lokasi ke-11 di Batu Caves akan beroperasi Khamis ini.

Pada 24 April lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan penyediaan 200 ruang niaga untuk menjual juadah berbuka puasa melalui Grab dan Platform Selangor (Plats).

Penghantaran makanan melalui dua saluran e-dagang tersebut dibuat melalui Grab, BungkusIt, Mr Speedy, Zepto Express dan MatDespatch.

Pratempahan bermula 10 malam hingga 1 tengah hari manakala pesanan dalam talian dibuka bermula 2.30 sehingga 5.30 petang.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Peniaga e-bazar Ramadan seronok niaga secara dalam talian

SHAH ALAM, 28 APRIL: Rata-rata peniaga e-bazar Ramadan yang memulakan perniagaan secara dalam talian rasa bersyukur dan gembira kerana hasil jualan bertambah pada tahun ini.

Perkara berkenaan dikongsi peniaga menerusi rakaman video di Instagram BisnesAmalMBI.

“Hari ini dapat RM600, jika di bazar Ramadan saya dapat dalam RM400 sehari, jadi hasil jualan bertambah, memang seronok,” kata peniaga berkenaan.

Jelas peniaga itu lagi, penggunaan aplikasi dipilih Kerajaan Negeri juga amat mudah difahami.

Seorang lagi peniaga menceritakan duit jualannya menerusi e-bazar lebih selamat.

“Duit terus masuk bank, saya rasa lagi seronok dan lebih selamat,” katanya.

Tinjauan SelangorKini menerusi portal tempahan makanan di plats.com.my mendapati beberapa e-kitchen sudah beroperasi.

Ia termasuk e-kitchen Bandar Baru Rawang, Bangi Golf Resort, RekaScape Cyberjaya, Jalan TP7/3 Subang Jaya dan Jalan Semangat Petaling Jaya.

Turut dibuka di Taman Putra Kajang, Presint Alami Shah Alam, Pandan Indah Ampang, Jalan 7/7C Bangi dan Seksyen 14 Shah Alam.

Pada 24 April, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Kerajaan Negeri menyediakan 200 ruang untuk peniaga menjual juadah berbuka puasa dengan pendaftaran dibuka sehingga akhir minggu pertama Ramadan.

Dua saluran e-dagang iaitu Grab Selangor dan Platform Selangor (Plats) dipilih dengan penghantaran tempahan dikendali syarikat penghantar seperti Grab, BungkusIt, Mr Speedy, Zepto Express dan MatDespatch.

Pratempahan bermula 10 malam sehingga 1 tengah hari dan kaedah tersebut mengurangkan pembaziran kepada peniaga.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Daftar e-bazar Ramadan masih dibuka

SHAH ALAM, 24 APRIL: Peniaga yang berminat menjual produk makanan menerusi e-bazar Ramadan masih boleh mendaftar di pautan plats.com.my, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri menyediakan 200 ruang untuk golongan berkaitan dan pendaftaran dibuka sehingga akhir minggu pertama Ramadan.

“Setakat ini kita sudah berbincang dengan lebih 100 orang. Kita (Kerajaan Negeri) akui tidak boleh memenuhi hasrat semua dalam keadaan sekarang.

“Berdasarkan rekod kita tahun lepas untuk pengguna aplikasi e-tunai seperti Boost dan sebagainya, ada 4,000 peniaga. Ketika Perintah Kawalan Pergerakan ini kita cuba bantu mana yang boleh,” katanya ketika wawancara menerusi Instragram Dbilique bersama Farah Fauzana hari ini.

Pada 18 April lalu, Amirudin mengumumkan dua saluran e-dagang khas sempena bulan puasa iaitu Grab Selangor dan Platform Selangor (Plats) manakala juadah akan dihantar syarikat penghantar seperti Grab, BungkusIt, Mr Speedy, Zepto Express dan MatDespatch.

Beliau berkata pratempahan bermula 10 malam sehingga 1 tengah hari dan dengan langkah ini peniaga mempunyai jumlah anggaran tempahan selain dapat mengurangkan pembaziran.

Categories
AGENDA NASIONAL

Biaya tanpa faedah galak peniaga sertai e-bazar Ramadan

SHAH ALAM, 18 APRIL: Selangor menyediakan pembiayaan mudah tanpa faedah sehingga RM5,000 kepada peniaga kecil bagi menggalakkan mereka menyertai e-bazar Ramadan tahun ini.

“Kerajaan Negeri berbesar hati menawarkan pembiayaan mudah tanpa faedah kepada peniaga kecil yang layak dengan pembiayaan RM3,000 hingga RM5,000 melalui Hijrah Selangor,” kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri turut menyediakan Insentif Digitalisasi sebanyak RM600,000 bagi menggalakkan peniaga menyertai program tersebut.

Katanya, inisiatif itu membantu masyarakat mengharungi norma kehidupan baharu, selain menjadikan Selangor perintis kemajuan.

Pada masa sama, Amirudin mengalu-alukan penyertaan wakil e-panggilan lain serta pemilik dewan atau fasiliti bersesuaian untuk pelaksanaan Platform Selangor (Plats).

“Kerajaan Negeri tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk penganjuran e-bazar Ramadan Selangor yang lain bagi mengelakkan mana-mana pihak mengambil kesempatan,” katanya lagi.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memperkenalkan dua saluran e-dagang khas sempena Ramadan iaitu Grab Selangor dan Plats susulan pembatalan bazar tahun ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Elak rakyat keluar, kabinet bincang SOP e-bazar esok

SHAH ALAM, 14 APRIL: Pelaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) e-bazar Ramadan akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet esok, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini berikutan terdapat kekeliruan dalam kalangan sesetengah pihak terhadap konsep e-bazar yang mana mengikut kaedahnya pembeli hanya perlu memesan makanan dan penghantaran akan dilakukan ke lokasi mereka.

Katanya, sekiranya pembeli memesan dan keluar dari rumah untuk mengambil makanan, ini akan menyebabkan berlakunya pergerakan secara besar-besaran.

“Esok kita akan bangkitkan dalam mesyuarat Kabinet. Kita akan tentukan apa yang boleh dan apa tak boleh. Ideanya adalah supaya rakyat tak boleh memberi alasan untuk keluar.

“Bila sekatan jalan raya, mereka beri alasan ‘saya tempah barang jadi nak pergi ambil’. Jadi semua orang akan guna alasan yang sama,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya hari ini.

Sementara itu beliau berkata kerajaan akan menguatkuasakan Skim Harga Maksimum PKP bermula esok hingga 28 April dan langkah itu bagi memastikan harga 12 barangan dan keperluan harian seperti ayam, telur ayam, minyak masak tepung gandum, kubis dan ikan kembung dapat dikawal.

“Perincian mekanisme skim harga ini akan diumumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

“Kerajaan sentiasa mendengar keluh kesah rakyat mengenai sikap peniaga yang tidak bertanggungjawab menaikkan harga barangan keperluan sewenangnya,” katanya.