Categories
AGENDA NASIONAL

Hukuman ikut pertuduhan, tiada siapa kebal undang-undang

SHAH ALAM, 29 APRIL: Hukuman individu ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tertakluk kepada pertuduhan dikenakan, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pesalah yang disabitkan dengan hukuman penjara tidak hanya melanggar PKP, sebaliknya melakukan kesalahan lain mengikut Kanun Keseksaan.

“Contoh ditangkap ketika ganggu tugas penjawat awam, bergaduh melawan polis atau langgar polis hingga patah kaki,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Mengulas isu denda RM1,000 yang dikenakan terhadap timbalan menteri kesihatan dan EXCO Perak, beliau berkata mereka hanya melanggar tatacara operasi piawai (SOP) peraturan, bukan perintah PKP yang mensabitkan hukuman penjara.

“Wakil rakyat bebas bergerak sepanjang PKP untuk memberi bantuan, namun mereka langgar penjarakan sosial. Tiada siapa dapat atasi undang-undang dan kerajaan bersikap adil. Siapa langgar akan kena tindakan tanpa mengira kedudukan,” katanya lagi.