SHAH ALAM, 19 APRIL: Seorang anggota polis wanita cedera di kepala selepas terkena khemah yang ranap susulan hujan lebat dan ribut di Petaling Jaya, semalam.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya melalui kenyataan di Facebook berkata kejadian di pos kawalan di Plaza Tol Kota Damansara berlaku ketika anggota tersebut bersama beberapa yang lain menjalankan operasi sekatan jalan raya.
“Ini adalah sebahagian pengorbanan yang dilalui oleh anggota keselamatan bagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata kenyataan itu.
Polis bersama tentera kini giat memantau pematuhan PKP untuk memastikan rakyat berada di rumah masing-masing, dalam usaha membendung penularan Covid-19.