Categories
PBT SELANGOR

Lima bulan beroperasi secara haram, premis jual aksesori rokok elektronik disita

KLANG, 11 APRIL: Sebuah premis menjual peralatan dan aksesori rokok elektronik di Pusat Perniagaan Rantau Panjang di sini disita Majlis Perbandaran Klang (MPK) selepas dikesan beroperasi tanpa lesen sejak hampir lima bulan lalu.

MPK dalam kenyataan memaklumkan tindakan diambil semasa rondaan pemantauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penguatkuasaan pelesenan premis perniagaan di sekitar daerah terbabit semalam.

“Pemantauan dijalankan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara yang diketuai Asisten Superintendan Zumairi Othman selepas menerima aduan orang ramai berhubung kegiatan di premis ini.

“Sebaik tiba di lokasi kita membuat pemeriksaan lanjut dan mendapati premis ini beroperasi tanpa lesen malah terdapat aktiviti jual beli berlaku ketika itu,” katanya di Facebook hari ini.

Kenyataan sama memberitahu premis berkenaan dikenakan tindakan atas kesalahan Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian kerana tidak mendapat lesen sah daripada pihak berkuasa tempatan itu.

Justeru, MPK mengingatkan semua pemilik premis mematuhi undang-undang dan arahan dikeluarkan kerajaan terutama sepanjang tempoh PKP.

“Pemilik premis jangan hanya mengejar untung sehingga membelakangkan undang-undang dan pihak yang membuat penguatkuasaan,” katanya.