Categories
PBT SELANGOR

Lipas atas papan pemotong sayur, MPKL keluar notis kesalahan

BANTING, 24 APRIL: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) mengeluarkan tiga notis kesalahan kepada pengusaha sebuah pasar raya di daerah ini semalam selepas pemeriksaan menemui beberapa ekor lipas berkeliaran di papan pemotong sayur.

Yang Dipertuanya Mohamad Zain A Hamid berkata pemeriksaan oleh pegawai kesihatan MPKL turut mendapati premis terbabit beroperasi dalam keadaan kotor dan menjijikkan.

“Pemilik premis tersebut melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 dan 34(2) Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (MDKL) 2007 serta Seksyen 18 Undang-Undang Kecil Perniagaan dan Perindustrian (MDKL) 2007,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengingatkan semua peniaga di daerah itu sentiasa menjaga kebersihan premis masing-masing kerana pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan.

“Kepada peniaga yang sudah diambil tindakan adalah diharapkan tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang,” katanya.