Categories
PBT SELANGOR

MPKL tawar diskaun parkir sehingga 80 peratus selama setahun, mulai esok

SHAH ALAM, 8 SEPT: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menawarkan pengurangan kadar kompaun tempat letak kereta sehingga 80 peratus selama setahun mulai esok.

MPKL menerusi Facebook memaklumkan potongan itu dibuat sempena sambutan ulang tahun pertama pihak berkuasa tempatan tersebut diiktiraf perbandaran.

“Bermula Khamis ini sehingga 9 September tahun depan, sebanyak 80 peratus ditawarkan bagi pengurangan kadar kompaun tempat letak kereta di sekitar kawasan MPKL,” katanya.

Orang ramai boleh membuat semakan kompaun secara dalam talian atau aplikasi Smart Selangor Parking.

Bayaran boleh dibuat secara tunai, kredit atau debit di kaunter bayaran MPKL, Jompay dan secara dalam talian.

Untuk sebarang pertanyaan boleh hubungi talian 03-3181 1809 atau layari laman sesawang www.mpkl.gov.my.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Air pasang besar: Kawasan pantai Kuala Langat ditutup

SHAH ALAM, 14 NOV: Kawasan pantai Kuala Langat ditutup mulai esok hingga Isnin, maklum Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

Pihak berkuasa tempatan itu berkata ia sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi fenomena air pasang besar kali ketiga yang diramal berlaku antara jam 5 pagi esok dan 6 pagi Isnin.

“Ketinggian paras air laut pada esok dan Isnin diramal mencecah 5.6 meter,” katanya di Facebook hari ini.

Semalam Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBNS) berkata Kerajaan Negeri sudah mengarahkan persediaan menghadapi bencana tahap tinggi dilaksanakan di lima daerah meliputi Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Air pasang besar pertama kali berlaku pada 19 hingga 20 September dan gelombang kedua pada 17 hingga 19 Oktober lalu.

Berikut senarai pusat pemindahan dan nombor perhubungan bilik gerakan daerah:

1. Sepang (03-8706 4613)
Maahad Integrasi Tahfiz Selangor

2. Kuala Langat (03-3182 2565)
Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang
Dewan Orang Ramai Sri Kundang, Kampung Kundang

3. Klang (03-3371 6700)
Dewan Serbaguna Kampung Sungai Serdang
SRA Kampung Batu 4 Jalan Kapar
Dewan Kompleks Sukan Pandamaran
Dewan Serbaguna MPK Pelabuhan Klang

4. Kuala Selangor (03-2289 7632 / 03-2289 6225 (APM)
Institut Pengurusan Peladang Tanjong Karang
Dewan SRJK(C) Pasir Penambang
SMK Seri Tanjong
SK Pasangan
Sekolah Kebangsaan Asam Jawa
Balai raya JKKK Kampung Pasir Tuntong
Dewan Orang Ramai Jeram
Balai JKKK Kampung Sugai Sembilang
Dewan Orang Ramai Sungai Buloh
Sekolah Kebangsaan Tambak Jawa

5. Sabak Bernam (03-3224 7058 / 03-3224 1749 (APM)
Dewan Sri Sekinchan
Dewan Sri Bernam
Dewan Parit Baru
Dewan Sri Nakhoda, Bagan Nakhoda Omar
6. Unit Pengurusan Bencana Negeri (03-5544 7324 / 03-5521 2440)

Categories
PBT SELANGOR

Pantas MPKL kesan limpahan kecil di Pantai Kelanang

SHAH ALAM, 16 OKT: Pasukan Tindakan Segera (Pantas) Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) mengesan limpahan kecil di Pantai Kelanang, Banting pagi tadi namun tidak mengakibatkan ban pecah.

Penyelarasnya berkata tiada limpahan air berlaku di Pantai Cunang, Pantai Batu Laut, Pantai Morib dan Jeti Tanjung Sepat pada hari pertama pemantauan fenomena air pasang besar.

“Walaupun air pasang besar kedua dijangka bermula esok namun kita sudah menggerakkan dua pasukan pada sesi pagi dan petang untuk melakukan rondaan di kawasan berisiko dinaiki air hari ini.

“Rondaan bagi memastikan aset dan infrastruktur di kawasan terbabit tidak terjejas serta dalam keadaan terkawal,” kata Miskon Karim ketika dihubungi.

Beliau berkata lima kawasan di daerah itu sudah ditutup kepada orang ramai berikutan paras air laut dijangka berada paras maksimum iaitu 5.8 meter.

“Oleh itu, penduduk setempat atau pengunjung digesa supaya tidak menghampiri kawasan berkenaan sama ada untuk melakukan aktiviti memancing atau berekreasi.

“Kita khuatir jika mereka enggan memberi kerjasama akan mengancam keselamatan kerana perlu diingat, ketika ini kita bukan sahaja bimbang isu air pasang tetapi juga pandemik Covid-19,” katanya.

Fenomena tersebut dijangka melanda Kuala Langat, Sepang, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam pada 17 hingga 19 Oktober.

Data ramalan Pusat Hidrografi Nasional menjangka kejadian kali ini tertinggi dalam tempoh 20 tahun.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB seru MPKL beri khidmat terbaik, tingkat kualiti

BANTING, 9 SEPT: Dato’ Menteri Besar berharap Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) terus memberi khidmat terbaik kepada masyarakat selepas dinaik taraf dari status majlis daerah yang berkuat kuasa hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sehubungan itu MPKL diminta bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan pembangunan yang dirancang mencapai matlamat meskipun berdepan cabaran besar.

“Dengan panarafan ini diharapkan MPKL akan meningkatkan kualiti perkhidmatan dalam kalangan kakitangan dan pihak MPKL sendiri,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Pengisytiharan Majlis Perbandaran Kuala Langat di Dewan Seri Jugra hari ini.

Menurut Amirudin lagi, pihak berkuasa tempatan (PBT) merupakan cerminan corak pentadbiran Kerajaan Negeri dan tidak boleh bertindak sendirian selain mengamalkan komunikasi yang betul.

“Inilah bebanan yang terpaksa kita pikul sesuai dengan status atau taraf kita miliki. Semakin meningkat status, semakin tinggi harapan dan jangkaan daripada pihak luar.

“Rakyat juga mengharapkan komunikasi yang betul. Proses perubahan yang bakal dilakukan pasti akan menimbulkan keadaan kurang selesa tetapi ia perlu dijelaskan dengan kaedah yang betul,” katanya.

MPKL berstatus majlis perbandaran mulai hari ini selepas mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj.

Susulan penafaran itu, MPKL turut memperkenalkan slogan baharu iaitu ‘Indah, Harmoni dan Bestari’ selain menggunakan logo yang memaparkan menara Masjid Sultan Alaeddin.

Categories
PBT SELANGOR

MPKL sita kafe milik warga Sudan, rampas barangan

SHAH ALAM, 27 OGOS: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menyita sebuah kafe dikendalikan warga Sudan di Bandar Saujana Putra, dekat sini semalam.

Yang dipertuanya berkata tiada kompromi dengan perkara itu kerana Kerajaan Negeri tidak membenarkan warga asing manjalankan perniagaan di negeri ini.

“Dalam operasi jam 4 petang anggota penguat kuasa mendapati kafe di Kuala Langat itu dikendali warga asing dan bertindak menyita beberapa barangan seperti shisha, meja, kerusi dan monitor komputer,” kata Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim dalam kenyataan.

Beliau berkata tindakan tegas diambil demi menjaga kesejahteraan peniaga tempatan.

“Justeru, penduduk Kuala Langat yang mempunyai maklumat berkaitan perniagaan melibatkan warga asing boleh menghubungi MPKL melalui talian 03-3187 2825 atau Sistem Pengurusan Aduan Selangor,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MPKL sita tapak pelupusan sampah haram

SHAH ALAM, 20 OGOS: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dengan kerjasama Pejabat Daerah Tanah Kuala Langat menyita tapak pelupusan sampah haram di kawasan Kampung Olak Lempit, Banting semalam.

Yang dipertuanya berkata siasatan mendapati tanah tersebut dijadikan tapak pelupusan dengan membenarkan orang lain membuang sampah haram sejak beberapa bulan lalu.

“MPKL mengeluarkan dua notis kesalahan di bawah UUK 4 dan UUK 21(1) Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap MDKL 2007,” kata Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim dalam kenyataan.

Beliau berkata pihaknya turut menyita sebuah jentolak dan beberapa peralatan lain yang digunakan di tapak pelupusan sampah haram dalam operasi tersebut.

“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat atas maklumat yang diberikan,” katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan sampah haram kepada MPKL di talian 03-31872825 atau melalui Sistem Pengurusan Aduan Selangor (SISPAA).

Categories
PBT SELANGOR

MPKL: Patuh prosedur pelupusan sampah, elak kena tindakan

SHAH ALAM,  13 OGOS: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) mengarahkan semua pemilik premis perniagaan di kawasan pentadbirannya menyediakan tong sampah jenis Mobile Garbage Bin (MGB) 240 liter bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

Yang Dipertuanya berkata pemantauan mendapati sebahagian pemilik premis perniagaan di daerah itu masih gagal mematuhi syarat pelesenan berkaitan pengurusan pelupusan sampah domestik dengan betul.

“Peniaga atau pemilik premis perlu mematuhi prosedur pelupusan sampah seperti menyediakan tong sampah MGB 240 liter, tidak membuang sampah ke dalam longkang atau mana-mana tempat awam.

“Sampah hendaklah dimasukkan ke dalam beg plastik dan diikat kemas serta diletakkan di dalam tong sampah (tiada kebocoran pada beg plastik sampah tersebut) selain perlu menjaga kebersihan di sekitar premis,” kata Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim menerusi kenyataan.

Beliau berkata kegagalan mematuhi peraturan boleh dikompaun tidak lebih RM1,000 atau tindakan pendakwaan di mahkamah dengan denda tidak lebih RM2,000 dan pembatalan lesen.

 

Categories
PBT SELANGOR

MPKL kesal tindakan laku musnah di Dataran Banting

SHAH ALAM, 6 OGOS: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) kesal dengan tindakan laku musnah taman permainan yang berlaku di Dataran Banting baru-baru ini.

Yang dipertuanya berkata perbuatan tidak bertanggungjawab itu dikhuatiri mengundang bahaya kepada kanak-kanak ketika menggunakan kemudahan di situ.

“Terdapat pengunjung yang membawa masuk basikal atau motosikal di dalam kawasan taman-taman permainan dan dataran.

“Perkara ini nyata jelas melanggar peraturan sedia ada dan boleh mendatangkan bahaya kepada para pengunjung,” kata Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan MPKL membelanjakan RM752,000 pada 2018 dan RM800,000 pada 2019 untuk membaiki peralatan riadah yang rosak di kawasan pentadbirannya.

Amirul Azizan berharap penduduk Kuala Langat bersama-sama menjaga kemudahan yang disediakan dan menyalurkan maklumat melalui talian 03-31872825 atau Sistem Pengurusan Aduan Selangor (Sispaa) jika melihat kejadian laku musnah.

Categories
PBT SELANGOR

MPKL terima sumbangan alat inovasi pembasmi kuman

SHAH ALAM, 11 JUN: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menerima empat unit alat inovasi untuk mengurangkan aktiviti sentuhan ketika berurusan di MPKL.

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid berkata, alat yang disumbangkan Persatuan Industri LED Malaysia itu juga mudah diaplikasikan.

“Alat berbentuk botol dan lampu pembasmi kuman itu merupakan inovasi terbaik sebab penggunaan bahan asas yang paling mudah. Ia juga senang digunakan, amat kreatif,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata lampu inovasi itu diletakkan di dalam bilik dalam tempoh satu jam bagi membasmi kuman menggunakan cahaya Ultraviolet.

Majlis penyerahan yang berlangsung hari ini turut dihadiri Pengarah Urusan Persatuan, Datuk Wong See Keong di Dewan Kompleks Sukan MPKL.

Categories
PBT SELANGOR

Abai kebersihan, empat premis terima notis MPKL

SHAH ALAM, 15 MEI: Empat restoran di sekitar Banting menerima notis atas pelbagai kesalahan daripada Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) kerana beroperasi dalam keadaan kotor, semalam.

MPKL memaklumkan semua premis itu dikenakan tindakan susulan operasi premis bersih Ramadan dijalankan pihak berkuasa tempatan tersebut bersama Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat.

Dalam operasi itu, kedua-dua pihak berkuasa terbabit memeriksa sembilan restoran dan kedai makan di sekitar pekan Banting.

Difahamkan operasi membabitkan seramai 13 pegawai dan anggota itu dijalankan hasil pemantauan pihak MPKL serta maklumat daripada orang awam.

Notis kesalahan dikeluarkan mengikut Seksyen 19 (1) (d) Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (MDKL) 2007, Seksyen 8 (5) dan Seksyen 9(f) Undang-Undang Kecil Pengendalian Makanan (MDKL) 2007.

“Semua pengusaha restoran dan kedai makan perlu memastikan premis sentiasa dalam keadaan bersih,” kata MPKL di Facebooknya.

Categories
PBT SELANGOR

Lipas atas papan pemotong sayur, MPKL keluar notis kesalahan

BANTING, 24 APRIL: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) mengeluarkan tiga notis kesalahan kepada pengusaha sebuah pasar raya di daerah ini semalam selepas pemeriksaan menemui beberapa ekor lipas berkeliaran di papan pemotong sayur.

Yang Dipertuanya Mohamad Zain A Hamid berkata pemeriksaan oleh pegawai kesihatan MPKL turut mendapati premis terbabit beroperasi dalam keadaan kotor dan menjijikkan.

“Pemilik premis tersebut melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 dan 34(2) Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (MDKL) 2007 serta Seksyen 18 Undang-Undang Kecil Perniagaan dan Perindustrian (MDKL) 2007,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengingatkan semua peniaga di daerah itu sentiasa menjaga kebersihan premis masing-masing kerana pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan.

“Kepada peniaga yang sudah diambil tindakan adalah diharapkan tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Perintah kawalan: Tiga PBT Selangor giat jalankan pemeriksaan

SHAH ALAM, 26 MAC: Beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor dilihat semakin agresif melakukan pemeriksaan ke atas premis perniagaan bagi memastikan pengusaha tidak melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi status dimuat naik di Facebook memaklumkan semua pemilik gerai sekitar pentadbirannya mematuhi PKP setakat ini.

“Pemantauan di Seksyen 8 hingga 20 mendapati semua gerai mematuhi peraturan dengan tidak menjalankan operasi perniagaan ekoran PKP yang berkuat kuasa mulai 18 Mac,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) diketuai Yang Dipertuanya Mohamad Zain A Hamid sendiri turun padang menjalankan pemeriksaan ke atas beberapa premis perniagaan sekitar daerah berkenaan kelmarin.

“Pemantauan yang disertai Pegawai Daerah Kuala Langat Mohd Jusni Hashim bertujuan memastikan peniaga dan pembeli mematuhi arahan berkaitan PKP serta keselamatan diri berhubung wabak Covid-19.

“Antara tempat dilawati adalah Pasar Awam Sungai Jarom, Jenjarom; Pasaraya Econsave, Banting; Pasaraya CLC, Banting; Pasar Awam Banting termasuk Pos Kawalan Pemeriksaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Olak Lempit,” kata MPKL dalam hantaran di Facebook.

Tinjauan di Facebook Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) pula mendapati pihaknya giat memantau pematuhan PKP bagi waktu operasi premis perniagaan pasar awam dan borong.

“Kita turut melaksanakan sistem penggiliran pembeli bagi memastikan orang awam mengekalkan penjarakan sosial (social distancing) di antara satu sama lain.

“Premis yang dilawati antaranya Pasar Awam Sepang (bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sepang); Pasar Awam Sungai Pelek (bersama Yang Dipertua MPSepang, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan serta PKD Sepang) termasuk Pasar Awam Dengkil (bersama Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPSepang dan Jabatan Sukarelawan Malaysia),” katanya.