Categories
ADN SELANGOR

Makanan kurang sesuai, ADN minta semak semula bekalan

SHAH ALAM, 13 APRIL: Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua memohon Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menyemak semula bantuan makanan kepada penduduk Sungai Lui.

Beliau berkata perkara itu ekoran penduduk yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menerima makanan dalam tin serta minuman manis yang tidak sesuai.

“Penduduk Sungai Lui bawah PKPD tidak mengharapkan makanan mewah, cukup sekadar barangan segar asas yang ada nutrisi seperti bawang, telur, sayuran dan daging,” kata Edry Faizal Eddy Yusof dalam kenyataan hari ini.

“Nadma juga diharapkan dapat semak kembali jenis barangan makanan bantuan yang telah ditetapkan untuk kawasan-kawasan PKPD, agar bersesuaian dengan keperluan kawasan.”

Batu 21 hingga 24, Sungai Lui merupakan kawasan bawah Hulu Langat yang dikenakan PKPD selama dua minggu sejak 30 Mac lalu hingga hari ini.

Ia berikutan terdapat 71 kes positif Covid-19 membabitkan 274 penghuni Maahad Tahfiz An Nabawiyyah di situ.