Categories
AGENDA BERITA UTAMA

MB: Sasar 5,000 saringan secara berperingkat, liputi pelbagai lokasi

HULU KLANG, 11 APRIL: Seramai 5,000 orang disasar menjalani saringan besar-besaran yang dilaksanakan Kerajaan Selangor secara berperingkat bermula hari ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata proses ujian dari rumah ke rumah dikendalikan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) meliputi pelbagai lokasi.

“Kita sasar sebanyak 5,000 saringan…hari ini mungkin dapat dalam 400 ke 500 kerana setiap saringan mengambil masa antara tujuh ke 10 minit,” katanya selepas menyampaikan bantuan kepada penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Klang di Dewan Serbaguna MPAJ AU5 Lembah Keramat di sini hari ini.

Beliau berkata ia adalah projek perintis di negara ini membabitkan saringan beramai-ramai dalam satu masa.

“Kita harap sokongan Kerajaan Negeri ini dapat mengesan lebih banyak kes positif termasuk mereka yang mempunyai simptom dan tidak bergejala yang akan membantu memutuskan terus rantaian Covid yang kita bimbang masih berlegar,” katanya.