Categories
PBT SELANGOR

MDHS lakukan nyahkuman di Bukit Beruntung, Bukit Sentosa

SHAH ALAM, 14 APRIL: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) sedang melaksanakan operasi nyahkuman besar-besaran di semua kediaman di Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa bagi mengekang penularan Covid-19, kata yang dipertuanya.

Shukri Mohamad Hamin berkata operasi itu dilakukan secara berperingkat mulai semalam yang membabitkan 15 bangunan di Pangsapuri Dahlia di Bukit Beruntung.

Beliau berkata kerja semburan dilakukan di tangga dan pemegang, laluan hadapan rumah atau koridor serta dinding setinggi dua meter dengan tidak melibatkan bahagian dalam rumah serta kedai.

“Penduduk hanya dibenarkan keluar dari rumah dua jam selepas semburan dilakukan. Tindakan ini sebahagian insiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi membasmi wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Shukri berkata penduduk Hulu Selangor diminta memberi kerjasama dan ikut arahan pihak berkuasa bagi memastikan usaha nyahkuman berjaya.

Katanya, proses sama akan diteruskan ke Bukit Sentosa di Pangsapuri Kenanga dan Pangsapuri Cempaka.

Susulan proses nyahkuman sedang dilakukan, penduduk diingatkan agar mengambil beberapa langkah yang perlu:

i. Memastikan laluan atau koridor tidak mempunyai sekatan atau halangan

ii. Semua barangan/harta benda individu hendaklah disimpan di tempat selamat

iii. Kain baju tidak dijemur atau dibiarkan di ampaian semasa kerja nyahkuman

iv. Semua haiwan peliharaan tidak disarankan dibiarkan di luar dan perlu disimpan di tempat selamat

v. Pastikan ada pengudaraan yang baik di dalam rumah seperti membuka tingkap dan memasang kipas. Jangan membiarkan pintu rumah terbuka semasa kerja nyahkuman dijalankan

vi. Bayi/ kanak-kanak/warga emas/pesakit kronik tidak dibenarkan berada di kawasan kerja nyahkuman sebaliknya berada di dalam rumah