SHAH ALAM, 15 APRIL: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyita tujuh premis di sekitar Klang Utara selepas didapati menjalankan perniagaan tanpa kebenaran, kata timblan yang dipertuanya.
Elya Marini Darmin berkata, tindakan diambil mengikut Undang-undang Kecil Perindustrian Tred Perniagaan dan Perindustrian MPK 2007 iaitu menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah.
“Kita mengarahkan premis ini ditutup serta-merta dan diberikan amaran supaya tidak beroperasi selagi belum mendapat lesen dari MPK.
“Kesemua premis ini juga dikenakan tindakan ‘seal’ untuk memudahkan pemantauan akan datang malahan pemilik turut berjanji akan patuhi arahan serta sedia dikena tindakan jika ingkar,” katanya menerusi hantaran di Facebook Saluran Komunikasi MPKlang.
Semalam, MPK melakukan rondaan di sekitar Rantau Panjang membabitkan Jalan Musran, Jalan Genting, Jalan Othman Baru dan Jalan Sungai Saim yang diketuai Elya dan beberapa kakitangan MPK serta polis.