Categories
PBT SELANGOR

MPK pantau pasar malam haram warga Kemboja

KLANG, 30 JUN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menempatkan anggota penguat kuasanya di sebuah pasar malam yang beroperasi secara haram dekat Bandar Sultan Sulaiman, di sini.

Timbalan Yang Dipertua MPK, Elya Marini Darmin berkata ia susulan aduan orang awam yang tidak selesa dengan kewujudan pasar malam kendalian warga Kemboja di situ.

“Kewujudan pasar malam itu menyebabkan lokasi berkenaan menjadi kotor termasuk longkang di kawasan sekitar tersumbat.

“Bagi membanteras operasi pasar malam ini, kami menempatkan anggota penguat kuasa untuk memantau.

“Jika ia masih dibuka, MPK tidak akan teragak-agak untuk membuat sitaaan,” katanya selepas Mesyuarat Penuh MPK di ibu pejabatnya, di sini hari ini.

Pada 4 Jun lalu, Kerajaan Selangor memutuskan warga asing tidak lagi dibenarkan berniaga selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri meluluskan Undang-undang Kecil Penjaja.

Warga asing juga dilarang memiliki lesen perniagaan, menjadi peniaga sementara atau diambil bekerja.

Categories
PBT SELANGOR

MPK periksa 33 premis, 10 beroperasi tanpa lesen diarah tutup

SHAH ALAM, 24 APRIL: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengarahkan 10 premis ditutup serta-merta kerana beroperasi tanpa lesen.

Operasi sempena pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga itu dilaksanakan di kawasan Sementa, Taman Sri Sementa, Sementa Utama, Jalan Kapar, Kampung Perepat, Taman Perepat Permai, Jalan Keretapi Lama, Taman Klang Utama dan Klang Perdana, semalam.

Menurut MPK di Facebook , pemeriksaan dijalankan pasukan Jabatan Undang-Undang MPK susulan aduan daripada orang ramai.

“Sebanyak 33 premis perniagaan diperiksa dan arahan penutupan diberi kepada 10 peniaga tidak berlesen. Mereka menerima arahan dan memberikan kerjasama.

“Pengusaha premis berlesen yang lain diminta untuk menyediakan cecair pembasmi kuman, mengawal penjarakan dan jumlah pelanggan dalam kedai.

“Pelanggan juga hendaklah dipastikan menggunakan topeng muka. Barangan perniagaan yang diletakkan di luar premis dan menyebabkan halangan diarah untuk dialihkan segera,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MPK sita tujuh premis jalankan perniagaan tanpa lesen

SHAH ALAM, 15 APRIL: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyita tujuh premis di sekitar Klang Utara selepas didapati menjalankan perniagaan tanpa kebenaran, kata timblan yang dipertuanya.

Elya Marini Darmin berkata, tindakan diambil mengikut Undang-undang Kecil Perindustrian Tred Perniagaan dan Perindustrian MPK 2007 iaitu menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah.

“Kita mengarahkan premis ini ditutup serta-merta dan diberikan amaran supaya tidak beroperasi selagi belum mendapat lesen dari MPK.

“Kesemua premis ini juga dikenakan tindakan ‘seal’ untuk memudahkan pemantauan akan datang malahan pemilik turut berjanji akan patuhi arahan serta sedia dikena tindakan jika ingkar,” katanya menerusi hantaran di Facebook Saluran Komunikasi MPKlang.

Semalam, MPK melakukan rondaan di sekitar Rantau Panjang membabitkan Jalan Musran, Jalan Genting, Jalan Othman Baru dan Jalan Sungai Saim yang diketuai Elya dan beberapa kakitangan MPK serta polis.

Categories
PBT SELANGOR

MPK: Diskaun kepada peniaga langsai tunggakan saman

KLANG, 30 JAN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menawarkan diskaun sehingga 85 peratus kepada peniaga yang menyelesaikan kompaun mereka pada 3 Februari hingga 31 Mac ini, kata timbalan yang dipertuanya.

Tawaran terbabit bagi menggalakkan 6,000 peniaga yang mempunyai tunggakan sejak 2000 hingga 2019 menjelaskan bayaran saman mereka.

Peniaga perlu menjelaskan kompaun ini pada tarikh yang ditetapkan jika mahu berniaga pada tahun ini,” kata Elya Marini Darmin selepas Majlis Penyerahan Papan Tanda Kebersihan di sini hari ini.

Dalam pada itu Elya berkata permohonan permit bazar Ramadan juadah dan bazar Jalan Taiping akan dibuka pada 3 hingga 28 Februari ini dan borang permohonan boleh didapati di kaunter pertanyaan pihak berkuasa tempatan itu.

Sebanyak 491 petak disediakan bagi bazar Jalan Taiping manakala 2,844 petak pula bagi bazar Ramadan juadah di 45 lokasi sekitar.

Categories
NASIONAL SELANGOR

20 Tahun Menanti, Baru Kini Jambatan Sg Delek Siap

Sg Delek 01

KLANG 29 APRIL : Penantian lebih 20 tahun penduduk sekitar Selat Klang khususnya Kampung Delek untuk mendapatkan sebuah jambatan berakhir apabila ia sudah siap sepenuhnya.

Jambatan yang diberi nama ‘Mini Serambi Mekah’ itu menelan kos sebanyak lebih RM3.4 juta yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri Selangor dan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya dan Majlis Perbandaran Klang(MPK).

Calon DUN Selat Klang, Dr Halimah Ali berkata jambatan berkenaan akan dapat menyelesaikan banyak masalah perhubungan penduduk.

Katanya, sebelum ini penduduk hanya menggunakan jambatan kunci air milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang hanya mampu memberi laluan kepada satu kenderaan sahaja dalam satu masa.

“Jadi, bila waktu puncak pagi dan petang, ia sangat sesak malah ia tidak boleh dilalui kenderaan berat. Dengan adanya jambatan ini, ia dapat mengurangkan kesesakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan jambatan baru itu, di sini.

Sg Delek 02

Beliau berkata dengan adanya jambatan itu ia juga dapat memudahkan penduduk sekitar membawa jenazah daripada seberang sungai ke tanah perkuburan di mana sebelum ini penduduk terpaksa melalui jalan yang jauh kerana tiada jambatan.

Sementara itu, Ketua Kampung Delek, Samsul Bahri berkata keprihatinan Kerajaan Negeri itu sangat dihargai penduduk kampung.

“Saya sebagai wakil penduduk sangat bersyukur dan berterima kasih kepada YB dan Kerajaan Negeri.

“Selain itu, ia dapat sekurang-kurangnya mengurangkan kadar kemalangan selain tidak lagi terpaksa mengikut jalan jauh lebih 10 kilometer jika untuk ke Pelabuhan Klang,” katanya.

Projek yang dimulakan pada awal Januari lalu itu meliputi pembinaan jambatan dan jalan sepanjang 1.2 kilometer yang mempunyai laluan dua hala.

Jambatan itu dibina di atas Sungai Telok Gadung dan Jalan Sri Perantau Kampung Delek berjaya disiapkan dalam tempoh dua bulan. Ia meliputi penyediaan jalan raya baru.

Sg Delek 03