SHAH ALAM, 23 APRIL: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mewajibkan semua pengendali, pengusaha makanan dalam talian dan penghantar makanan mendaftarkan operasi perniagaan mereka semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
MPSJ dalam kenyataan memaklumkan ia bagi kemudahan mereka dan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu terutama pada ketika ini yang memerlukan urusan dilakukan melalui dalam talian.
“Pengendali, pengusaha makanan perlu menggunakan khidmat penghantar seperti Foodpanda, GrabFood atau penghantaran makanan persendirian dan boleh menggunakan sebarang landasan di media sosial untuk mempromosikan perniagaan masing-masing,” katanya hari ini.
Tambah PBT itu, setiap penghantar makanan akan dibekalkan ‘Pas khas kebenaran penghantar makanan MPSJ’ dan bayaran RM10 dikenakan semasa pengambilan pas.
“Pas dibekalkan bermula hari ini hingga 30 April dan boleh diambil di bangunan ibu pejabat MPSJ di USJ 5 mulai jam 9 pagi hingga 12 tengah hari, pada hari bekerja sahaja,” katanya.
Selain itu MPSJ turut mewajibkan pengendali, pengusaha dan penghantar makanan membuat saringan kesihatan Covid-19 serta suntikan typhoid di klinik kesihatan dan kos di bawah tanggungan sendiri.
Pengendali atau pengusaha makanan boleh berdaftar menerusi https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSdpe_jjnXw7BuxUW7Z3SSvC_G5JzUqQTDoWaV4Aq-XwfS_XA/viewform?usp=sf_link.
Manakala penghantar makanan melalui pautan https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSdxiAf045gWbw6H7CEIpaZZZwkJET2qC0vCS1OmmMFWFQIYDg/viewform?usp=sf_link.