Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Pakej Selangor Prihatin 2.0: Pesakit Covid-19 dapat bantuan RM1,000

SHAH ALAM, 1 APRIL: Pesakit Covid-19 yang sedang dalam rawatan bakal menerima bantuan RM1,000 seorang daripada Kerajaan Negeri.

Perkara itu diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin fasa kedua di kediaman rasminya, di sini hari ini.

Beliau turut memperuntukkan RM1 juta bagi perkhidmatan kaunseling dan pakar untuk kesihatan mental melalui kelas interaktif.

“Perintah Kawalan Pergerakan dan pandemik memberi kesan terhadap terhadap kesihatan mental masyarakat. Sehubungan itu, sebanyak RM1 juta akan dibelanjakan untuk perkhidmatan kaunseling dan pakar bagi kesihatan mental melalui kelas interaktif,”  katanya.

Terdahulu, Amirudin mengumumkan peruntukan RM272.5 juta bagi menangani impak Covid-19, tambahan daripada pakej pertama Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor yang diumumkan pada 20 Mac lalu berjumlah RM127.8 juta .