Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Orang Asal tak dilupakan, 74 kampung dapat manfaat pakej rangsangan ekonomi Selangor Prihatin

SHAH ALAM, 9 OGOS: Sebanyak 5,941 keluarga Orang Asal seluruh negeri mendapat manfaat pakej rangsangan ekonomi Selangor Prihatin fasa kedua berikutan ancaman Covid-19.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya sentiasa memberi perhatian dan menitik berat kebajikan kaum itu selain menganggap mereka antara kelompok penting.

“Jumlah itu membabitkan penduduk suku Temuan, Mahmeri dan lain-lain di 74 kampung.

“Semoga kita tidak lupa setiap kaum memainkan peranan dalam membentuk identiti dan keutuhan semangat Selangor Darul Ehsan,” katanya sempena sambutan Hari Orang Asal Sedunia 2020 yang disambut hari ini.

Melalui pakej rangsangan diumumkan 1 April lalu, Selangor memperuntukkan RM297,050 bagi mengagihkan bantuan kepada 22,992 Orang Asal seluruh negeri.

Bantuan berbentuk barangan keperluan asas seperti beras, tepung, gula, susu, minyak masak dan sebagainya.

Categories
EXCO SELANGOR

Warga agro Selangor boleh mula mohon bantuan makanan asas – EXCO

SHAH ALAM, 6 APRIL: Warga agro Selangor yang berpendapatan bersih RM1,500 dan ke bawah kini boleh mula membuat permohonan bantuan makanan asas daripada Kerajaan Negeri, kata EXCO pertanian.

Ir Izham Hashim berkata ia melibatkan petani, penternak, nelayan dan usahawan industri asas tani (IAT) seperti yang diumumkan menerusi Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2.0.

“Pemohon mestilah terdiri dari mereka yang tidak pernah menerima bantuan makanan asas. Semoga inisiatif ini mengurangkan beban yang ditanggung ketika ini,” katanya menerusi kenyataan.

Pemohon boleh membuat permohonan di https://bit.ly/3441hg9 atau emel ke [email protected] sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan.

Izham berkata menerusi Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2.0 yang diumumkan pada 1 April lalu, sebanyak RM3 juta diperuntukkan untuk portfolio Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani di negeri ini.

Menerusinya, sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan untuk bantuan benih, ternakan, peralatan dan bahan mentah kepada petani, penternak dan nelayan.

“Kedua, sebanyak RM1 juta sebagai suntikan modal kepada program Pasar Agro Selangor.

“Ketiga sebanyak RM500,000 disalurkan untuk bantuan makanan asas kepada petani, penternak, nelayan dan usahawan industri asas tani yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

RM100.7 juta untuk industri digitalisasi di Selangor

SHAH ALAM, 1 APRIL: Kerajaan Selangor memperuntukkan RM100.7 juta untuk industri digitalisasi bagi mengimbangi pentadbiran negeri ini ketika penularan wabak Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar Selangor.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata digitalisasi membabitkan e-pembelajaran, Selangor Advance dan Inisiatif Digital Selangor Grab itu membuka peluang pekerjaan serta menjaga kebajikan pekerja sedia ada.

“RM700,000 dari jumlah itu dikhaskan untuk 250,000 murid tahun satu hingga pelajar tingkatan lima melalui proses e-pembelajaran dan diharap memberi manfaat kepada pelajar yang akan menghadapi peperiksaan besar.

“Kita harap anak Selangor berupaya belajar walaupun tidak hadir ke sekolah dan tanpa panduan guru kelas tambahan. Perkara ini akan diselaraskan Yayasan Selangor,” katanya selepas mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 di sini, hari ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Mahasiswa boleh tangguh bayaran balik pinjaman – Amirudin

SHAH ALAM, 1 APRIL: Kerajaan Negeri setuju memberi penangguhan bayaran balik pinjaman pengajian kepada mahasiswa dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 yang diumumkan Dato’ Menteri Besar hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penangguhan melibatkan yang peruntukkan RM6.07 juta itu dilaksana secara automatik bermula 1 April hingga 30 September.

“Kerajaan Negeri juga akan memberi bantuan makanan percuma melalui pihak univeristi,” katanya di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2.3 juta bagi memudah cara urus diri mahasiswa menerusi bantuan sara diri sekali bayar (one-off) RM200 seorang kepada 2,500 mahasiswa Selangor di Sabah dan Sarawak yang tidak dapat pulang kerana penularan Covid-19 serta makanan percuma untuk pelajar di Universiti Selangor, Kolej Universiti Islam Selangor dan Kolej INPENS.

Categories
AGENDA NASIONAL

Petugas perubatan di Selangor terima bantuan makanan RM1.344 juta

SHAH ALAM, 1 APRIL: Selangor memperuntukkan RM1.344 juta bagi bantuan makanan percuma kepada petugas perubatan di hospital seluruh negeri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Perkara itu diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin fasa kedua di kediaman rasminya, di sini hari ini.

“Kerajaan Negeri juga memberikan insentif penjagaan anak-anak petugas barisan hadapan kepada 2,500 keluarga sebanyak RM1.5 juta,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata insentif sekali bayar sebanyak RM200 kepada 5,931 petugas di hospital seluruh negeri sedang diselaraskan dan dijangka selesai Jumaat ini.

Terdahulu, Amirudin mengumumkan peruntukan RM272.5 juta bagi menangani impak Covid-19, tambahan daripada pakej pertama Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor yang diumumkan pada 20 Mac lalu berjumlah RM127.8 juta .

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Pakej Selangor Prihatin 2.0: Pesakit Covid-19 dapat bantuan RM1,000

SHAH ALAM, 1 APRIL: Pesakit Covid-19 yang sedang dalam rawatan bakal menerima bantuan RM1,000 seorang daripada Kerajaan Negeri.

Perkara itu diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin fasa kedua di kediaman rasminya, di sini hari ini.

Beliau turut memperuntukkan RM1 juta bagi perkhidmatan kaunseling dan pakar untuk kesihatan mental melalui kelas interaktif.

“Perintah Kawalan Pergerakan dan pandemik memberi kesan terhadap terhadap kesihatan mental masyarakat. Sehubungan itu, sebanyak RM1 juta akan dibelanjakan untuk perkhidmatan kaunseling dan pakar bagi kesihatan mental melalui kelas interaktif,”  katanya.

Terdahulu, Amirudin mengumumkan peruntukan RM272.5 juta bagi menangani impak Covid-19, tambahan daripada pakej pertama Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor yang diumumkan pada 20 Mac lalu berjumlah RM127.8 juta .