SHAH ALAM, 5 APRIL: Kerajaan Persekutuan akan merangka pelan khusus bagi memastikan syarikat penerbangan terus beroperasi susulan kesan buruk Covid-19, kata menteri di jabatan perdana menteri (ekonomi).
Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata sektor penerbangan, pelancongan dan perhotelan mengalami pertumbuhan lembap sebelum pandemik Covid-19 berlaku, lapor Sinar Harian.
“Malaysia Airlines, Air Asia dan Malindo Air amat terkesan dengan keadaan ekonomi dunia ditambah dengan krisis kesihatan ini. Malah semua syarikat penerbangan di dunia juga mengalami masalah yang belum pernah berlaku sebelum ini,” katanya.
Sebelum ini, Kerajaan menyediakan RM50 bilion menerusi Danajamin bagi menjamin pinjaman syarikat sehingga 80 peratus dengan pinjaman melebihi RM20 juta untuk satu-satu syarikat.
Selain itu, pembayaran cukai pendapatan ditangguhkan selama tiga bulan manakala sumbangan kepada Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) dikecualikan selama enam bulan.