Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Pesakit kronik, warga emas berisiko mati jika dijangkiti

SHAH ALAM, 16 APRIL: Dua kelompok usia dalam kalangan warga emas berdepan berisiko kematian jika dijangkiti Covid-19, lebih-lebih lagi jika mereka ada rekod sakit kronik, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham berkata ia membabitkan mereka yang berusia antara 55 hingga 59 tahun dan 60 hingga 64 tahun.

“Warga emas adalah kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi dan kematian akibat jangkitan kerana faktor umur serta penyakit kronik,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Berdasarkan statistik kematian akibat pandemik, beliau berkata sebanyak 62.6 peratus adalah individu berumur 60 tahun ke atas.

Beliau berkata sebanyak 80.7 peratus kes kematian ada rekod penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, buah pinggang dan sakit jantung.