KUALA LUMPUR, 25 APRIL: Ketika Malaysia bersiap sedia untuk memasuki fasa keempat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PLUS Malaysia Bhd (PLUS) meneruskan perkhidmatan dan menyediakan persekitaran selamat kepada mereka yang perlu menggunakan lebuh rayanya untuk mengangkut barangan penting atau pulang ke rumah masing-masing seperti ditetapkan kerajaan.
Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata akan ada unit peronda lebuh raya yang beroperasi 24 jam iaitu PLUSRONDA serta pasukan pejabat bahagian dan Pusat Pemantauan Trafik (TMC) bagi memastikan bahawa semua pengguna dalam keadaan selamat dan selesa ketika melakukan perjalanan di sepanjang 1,100 kilometer lebuh raya miliknya.
“PLUS bersetuju dengan semua usaha yang dilakukan bagi menghentikan penularan Covid-19 dan gembira melihat penguatkuasaan amalan jarakan sosial serta penjagaan kebersihan yang betul telah menjadi normal baharu yang ditetapkan oleh pihak berkuasa ke atas semua pengguna lebuh raya.
“Kami akan terus berganding bahu dengan semua pihak berkuasa penting ini dan bersedia sepenuhnya dalam menghadapi sebarang kemungkinan di lebuh raya kami,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Azman juga berkata sama ada PKP akan berakhir atau dilanjutkan selepas 12 Mei, PLUS sedia membantu dan menyokong semua pengguna lebuh raya kerana petugas barisan hadapannya sentiasa bersiap siaga serta dilengkapi peralatan yang cukup untuk mengambil tindakan sewajarnya.
– BERNAMA