Categories
AGENDA NASIONAL

Polis perinci data rangkaian kontak individu Covid-19

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: Polis kini dalam usaha memperincikan data termasuk daripada kluster tabligh di Sri Petaling bagi mengenal pasti rangkaian kontak pesakit wabak Covid-19, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata berdasarkan perincian itu, polis akan mengenal pasti kemungkinan rangkaian kontak rapat pesakit Covid-19 untuk disalurkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Semua tugasan itu dilakukan oleh pasukan petugas khas di bawah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Huzir Mohamed, yang bertugas 24 jam mengikut syif.

“Pasukan petugas ini menggerakkan aset teknologi yang kami ada di JSJ untuk membuat analisa daripada data yang dibekalkan oleh KKM.

“(Kira-kira) 40,000 data yang diperincikan satu persatu, setakat ini beberapa daerah kami kenal pasti siapakah daripada seorang yang positif, siapa kumpulan sasaran yang sepatutnya tampil ke KKM untuk saringan,” katanya kepada Bernama di Bukit Aman di sini hari ini.

Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika ditemui media selepas tinjauan sekatan jalan raya oleh anggota polis di Kampung Sungai Lui, Batu 21, Hulu Langat pada 30 Mac 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Mengenai kluser tabligh, Abdul Hamid berkata polis membantu KKM untuk mengenal pasti sehingga hampir 11,000 jemaah yang turut serta pada perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling dari 28 Februari hingga 1 Mac lalu.

Beliau berkata berdasarkan data yang diperhalusi menggunakan teknik yang ada di JSJ, polis dapat mengenal pasti rangkaian kontak rapat jemaah itu, perjalanan mereka dan siapa pula yang mungkin dijangkiti.

“Kami dapat memberikan satu analisa ramalan, kami boleh ramal daripada analisa bahawa seorang jemaah tabligh ini yang telah disahkan positif, siapakah orang yang dalam rangkaiannya yang berkemungkinan besar kena Covid-19.

“Kami kenal pasti orang itu, dapatkan alamat mereka dan bekalkan kepada KKM supaya KKM panggil mereka. Kami cuba dapatkan nombor telefon, alamat lengkap, kad pengenalan…semua kita dapat,” katanya.

Beliau berkata kebanyakan kumpulan tabligh itu disaring dan polis menyeru orang ramai tidak mengecam dan mendiskriminasikan ahli tabligh dengan meningkatkan kebencian terhadap mereka.

Abdul Hamid berkata selain itu, pasukan khas berkenaan juga memberikan maklumat pengenalan diri mengenai ahli tabligh yang berada di luar negara.

“Apabila memperoleh maklumat, kami akan memaklumkan kepada pihak Jabatan Imigresen untuk menunggu kepulangan mereka di pintu masuk negara.

Sebelum ini, Bernama melaporkan sebanyak 95 peratus peserta perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling, di sini, tampil membuat saringan kesihatan bagi Covid-19, manakala baki lima peratus lagi sedang dijejaki untuk memastikan mereka juga tampil membuat saringan.

Susulan itu, polis menubuhkan pasukan petugas membabitkan pegawai dan anggota JSJ di semua peringkat daerah dan kontinjen polis negeri dalam usaha mengesan mereka yang menghadiri perhimpunan tersebut.

-BERNAMA