SHAH ALAM, 24 APRIL: Polis menahan seramai 4,072 individu kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini sejak fasa pertama bermula 18 Mac lalu.
Jurucakap Ops Covid-19 Polis Selangor Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata pihaknya membuka 1,855 kertas siasatan berhubung perkara itu manakala 2,357 pemeriksaan dilakukan serta 2,744 individu diberi nasihat dan amaran.
“Masyarakat dinasihatkan agar sentiasa mematuhi PKP supaya usaha membendung Covid-19 dapat dicapai,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Sementara itu, Muhammad Yazid yang juga Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor berkata seorang pemandu lelaki berusia 42 tahun direman dua hari selepas merempuh sekatan jalan raya di Plaza Tol Sungai Besi, kelmarin.
Beliau berkata, polis terpaksa mengejar suspek selama 45 minit sebelum dapat menahannya, tiada sebarang kecederaan berlaku namun peralatan sekatan jalan raya mengalami kerosakan.
“Kejadian ini disebabkan sikap kurang sabar ketika melalui sekatan jalan raya namun orang ramai diminta bersabar kerana ia dilakukan demi mengehadkan pergerakan dalam usaha mengekang penularan Covid-19,” katanya.