Categories
AGENDA NASIONAL

Pagar dipanjat pekerja Top Glove masih dalam kawasan PKPD

SHAH ALAM, 3 DIS: Pagar asrama pekerja yang dipanjat pekerja Top Glove, Meru, seperti dilaporkan pihak media sebelum ini, masih berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), jelas Polis Selangor.

Jurucakap Khas Ops Covid-19 Polis Selangor Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, pekerja berkenaan memanjat pagar itu untuk keluar membeli barangan keperluan di sebuah rumah berdekatan yang dijadikan kedai runcit dan premis itu juga berada dalam kawasan PKPD.

“Kejadian itu tidak menjadi isu, kerana kedai runcit berkenaan masih lagi berada dalam kawasan PKPD,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Tambah beliau, Majlis Perbandaran Klang juga sudah mengambil tindakan terhadap pemilik kedai runcit berkenaan, kerana beroperasi tanpa lesen.

Muhammad Yazid juga menyeru orang ramai supaya tidak panik mengenai kejadian tersebut, kerana keselamatan di PKPD itu masih dalam keadaan terkawal.

Sementara itu, dalam kes berasingan, polis mengesahkan menerima laporan daripada syarikat Top Glove semalam, berhubung penularan video yang didakwa memaparkan kekerasan pihak berkuasa ke atas pekerjanya.

“Kes tersebut masih dalam siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

PKPD asrama pekerja Top Glove berkuat kuasa mulai 17 November lalu, dilanjutkan sehingga 14 Disember depan susulan masih ada peningkatan kes positif Covid-19 melibatkan Kluster Teratai.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tahan dalang 69 kes tipu pakej pelancongan

SHAH ALAM, 29 SEPT: Polis percaya dapat menyelesaikan 69 kes penipuan pakej pelancongan membabitkan kerugian RM610,993 dengan penahanan dua pengarah sebuah syarikat dalam satu serbuan di sebuah inap desa di Ampang oleh sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh pada Jumaat lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata penahanan kedua-dua suspek berumur 27 dan 26 tahun, yang juga pasangan suami isteri itu dibuat susulan beberapa laporan yang diterima mengenai kegiatan mereka sejak 13 September lepas.

“Semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Setakat Jumaat lepas, sebanyak 69 laporan polis diterima berkaitan penipuan pakej pelancongan, dengan 519 individu telah menjadi mangsa melibatkan kerugian RM610,993,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Daripada jumlah laporan polis itu, sebanyak 30 laporan dibuat di Daerah Sungai Buloh dan diikuti dengan Gombak dan Ampang Jaya dengan masing-masing tujuh laporan, Petaling Jaya (10), Subang Jaya (tiga), Shah Alam (enam), Sepang, (dua) dan Kajang (empat).

Muhammad Yazid berkata siasatan ke atas kedua-dua suspek dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun, sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Justeru katanya, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati terhadap sebarang penawaran pakej pelancongan murah dan sentiasa membuat semakan dengan pengurusan hotel serta pihak berwajib bagi mengesahkan status syarikat atau ejen terlibat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis Selangor tahan 18 lelaki disyaki Ah Long

SHAH ALAM, 10 JUN: Polis menahan 18 lelaki disyaki terlibat dengan kegiatan perkhidmatan pinjaman wang tanpa lesen atau Ah Long dalam lima operasi berasingan di sekitar Lembah Klang, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata kesemua suspek berumur 20 hingga 55 tahun itu ditahan dalam ‘Op Vulture’ untuk mengekang kegiatan Ah Long di negeri ini.

“Kesemua suspek ditahan di lima lokasi iaitu di Klang Utara, Klang Selatan, Petaling Jaya, Kajang dan Serdang.

“Dalam operasi itu, polis turut merampas 38 telefon bimbit, dua unit komputer riba, 42 keping kad ATM, wang tunai berjumlah RM5,736 serta pelbagai dokumen dipercayai maklumat diri peminjam,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati enam daripada 18 suspek berkenaan turut mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau malah ada dalam kalangan mereka dikesan menggunakan kekerasan termasuk mengugut peminjam.

Katanya, kesemua suspek itu kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Yazid berkata sebanyak 1,662 individu diperiksa Polis Selangor dalam ‘Op Mabuk’ bagi tempoh Januari hingga Mei lepas.

Beliau berkata daripada jumlah yang diperiksa itu, 50 individu ditahan kerana memandu dan menunggang kenderaan di bawah pengaruh alkohol.

“Kita akan mempertingkatkan lagi tahap kekerapan operasi bagi mengesan pemandu mabuk susulan kebenaran perjalanan rentas negeri bermula tengah malam tadi.

“Ini kerana akan ada lebih banyak kenderaan di jalan raya apabila orang ramai pulang ke kampung sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang bermula hari ini sehingga 31 Ogos depan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Polis Selangor tahan lebih 4,000 individu ingkar PKP

SHAH ALAM, 24 APRIL: Polis menahan seramai 4,072 individu kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini sejak fasa pertama bermula 18 Mac lalu.

Jurucakap Ops Covid-19 Polis Selangor Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata pihaknya membuka 1,855 kertas siasatan berhubung perkara itu manakala 2,357 pemeriksaan dilakukan serta 2,744 individu diberi nasihat dan amaran.

“Masyarakat dinasihatkan agar sentiasa mematuhi PKP supaya usaha membendung Covid-19 dapat dicapai,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Sementara itu, Muhammad Yazid yang juga Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor berkata seorang pemandu lelaki berusia 42 tahun direman dua hari selepas merempuh sekatan jalan raya di Plaza Tol Sungai Besi, kelmarin.

Beliau berkata, polis terpaksa mengejar suspek selama 45 minit sebelum dapat menahannya, tiada sebarang kecederaan berlaku namun peralatan sekatan jalan raya mengalami kerosakan.

“Kejadian ini disebabkan sikap kurang sabar ketika melalui sekatan jalan raya namun orang ramai diminta bersabar kerana ia dilakukan demi mengehadkan pergerakan dalam usaha mengekang penularan Covid-19,” katanya.