SHAH ALAM, 13 APRIL: Petugas Gerakan Operasi Saringan Komuniti Covid-19 Selangor (Selcare) akan menjalankan saringan fasa dua bagi mengesan wabak itu minggu ini.
Pengarah Operasi Bilik Gerakan Selangor Datuk Zamani Ahmad Mansor berkata saringan tertumpu di zon merah dan berkemungkinan membabitkan penduduk di sekitar Klang serta Petaling Jaya.
“Pagi ini semua petugas sudah dibenarkan pulang selepas saringan pertama di Hulu Langat selesai semalam. Peralatan digunakan akan dinyahcemar sekali lagi hari ini dan dibiarkan untuk tempoh 24 ke 48 jam sebelum digunakan semula,” katanya kepada SelangorKini.
Seramai 649 individu berjaya disaring bermula Sabtu lalu hasil kerjasama pengurusan Selcare, jabatan kesihatan, polis dan Pejabat Daerah Hulu Langat.
Pada 8 April lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Kerajaan Negeri akan menjalankan saringan di zon merah Covid-19 di Selangor.
Seramai 5,000 orang disasar menjalani saringan yang dibuat dari rumah ke rumah, pertama kali dilakukan di Malaysia bagi memerangi wabak berkenaan.