Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Enam zon merah di Selangor catat kenaikan 48 kes Covid-19

SHAH ALAM, 13 APRIL: Enam daerah yang dikategorikan sebagai zon merah di Selangor mencatatkan kenaikan kes baharu sebanyak 48, sebahagian besarnya di Petaling.

Mengikut angka Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) negeri setakat 10 malam tadi, enam zon merah berkenaan mencatatkan 1,154 kes dengan pecahan Hulu Langat (392 kes), Petaling (359), Klang (166), Gombak (131), Sepang (61) dan Hulu Selangor (45).

Kenaikan kes turut dilaporkan di Kuala Selangor yang setakat ini mencatatkan 30 kes, Kuala Langat (27) dan Sabak Bernam (21).

Keseluruhannya, Selangor mencatatkan kenaikan 52 kes atau 4.41 peratus, dengan jumlah kumulatif 1,232 kes dan sepuluh kematian setakat ini.

Pesakit yang berjaya sembuh pula seramai 1,021 orang, sementara 24 dirawat di unit rawatan rapi.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam, zon merah Covid-19 kekal 26 daerah, dengan Lembah Pantai merekodkan jumlah kes tertinggi.

KKM menetapkan kawasan yang lebih 40 kes sebagai zon merah, manakala zon jingga 21 hingga 40 kes. Tiada kes dianggap zon hijau, sementara 1 hingga 20 kes pula zon kuning.