HULU KLANG, 11 APRIL: Kerajaan Selangor hari ini memulakan saringan besar-besaran Covid-19 dari rumah ke rumah bagi memutuskan rantaian wabak itu di negeri ini, kata Dato Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata saringan itu pertama kali dibuat di Malaysia yang membabitkan proses saringan beramai-ramai dalam satu masa.
Beliau berkata sebanyak 500 saringan dijangka dibuat pada hari pertama manakala lokasi saringan dan keputusannya dijangka diketahui paling awal dalam tempoh 24 jam
“Hasil daripada kajian itu kita akan tengok sama ada perbelanjaan kita bersesuaian atau susun semula tindakan,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan kepada penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Klang di Dewan Serbaguna MPAJ AU5 Lembah Keramat di sini hari ini.
Saringan besar-besaran itu dilaksanakan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) susulan kebimbangan peningkatan jangkitan Covid-19 di Selangor iaitu 1,148 kes sehingga semalam, tertinggi di Malaysia.
Strategi pasukan itu adalah untuk menambah jumlah ujian saringan di beberapa lokaliti tertentu terutama di zon merah yang merekodkan lebih 40 kes.