Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor perkenal e-Bazar Raya sempena Aidilfitri

SHAH ALAM, 21 APRIL: Selangor bakal memperkenalkan e-Bazar Raya pada awal Ramadan ini iaitu jualan kedua dalam talian sempena sambutan Aidilfitri pada tahun ini, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata proses perbincangan dengan agensi terlibat termasuk peniaga memasuki fasa akhir dan perkara itu akan diumumkan selepas semua dimuktamadkan.

“Kita tengah berbincang kerana pengendali pakaian, songkok, samping, kuih raya dan dodol yang mungkin Datuk Seri (Anwar Ibrahim) minat juga akan kita pasarkan secara dalam talian,” katanya ketika Sesi InteraksiĀ  Datuk Seri Anwar Ibrahim Bersama Menteri Besar Pakatan Harapan di Facebook hari ini.

Turut serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun danĀ  Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. Sesi tersebut dikendalikan Anwar selaku Presiden KEADILAN.

Beliau berkata mengikut rekod sedia ada, seramai 16,445 peniaga terlibat dalam perniagaan persiapan Ramadan dan hari raya di Selangor tahun lalu dan e-Bazar Raya ini adalah bagi membantu mereka menjana semula pendapatan selepas terkesan akibat Covid-19.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor mengumumkan pelaksanaan e-bazar Ramadan bagi membantu peniaga makanan beroperasi menerusi dua saluran e-dagang khas iaitu Grab Selangor dan Platform Selangor (Plats).