Categories
ADN SELANGOR

Seri Kembangan peruntuk RM10,000 beli alat nyahcemar

SHAH ALAM, 27 APRIL: Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Kembangan memperuntukkan RM10,000 bagi membeli peralatan mesin untuk operasi nyahcemar bagi mencegah Covid-19, kata Ahli Dewan Negerinya.

Ean Yong Hian Wah berkata langkah itu diambil atas permintaan penduduk dan pihak pengurusan beberapa pangsapuri yang kurang berkemampuan, bagi memastikan kebersihan di DUN seterusnya bebas daripada wabak berkaitan.

“Selain itu, ia juga bagi membantu kerajaan yang mungkin kekurangan jentera untuk melakukan proses nyahcemar di seluruh kawasan dalam sesuatu daerah.

“Justeru, kita sebagai wakil rakyat perlu fikir alternatif untuk melaksanakannya dengan sejumlah peruntukan bagi menampung kosnya,” katanya kepada SelangorKini.

Proses nyahcemar dengan kerjasama pasukan Bomba Sukarela sudah bermula sejak pertengahan Mac lalu yang dilakukan secara berperingkat mengikut kawasan di DUN berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Hian Wah turut memuji kebanyakan penduduk yang mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan ditetapkan kerajaan.