Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan Sharafuddin dukacita penyebaran berita, video palsu Covid-19

SHAH ALAM, 13 APRIL: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dukacita terhadap penyebaran berita dan video palsu berkaitan Covid-19 yang tular kebelakangan ini.

Justeru, baginda mengingatkan semua pihak supaya lebih bertanggungjawab dan tidak mereka berita palsu yang boleh menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat.

“Beta juga berharap rakyat tidak mudah mempercayai dan menyemak terlebih dahulu kesahihan setiap berita yang diterima di media sosial,” titah baginda dalam kenyataan dikeluarkan Istana Selangor hari ini.

Baginda turut menyeru rakyat supaya terus memperbanyakkan doa supaya negeri ini dijauhi daripada wabak penyakit dan bala bencana yang boleh menyebabkan kematian.

Dalam kenyataan itu, Sultan Sharafuddin turut mengucapkan selamat menyambut Ramadan 1441 Hijrah dan menjalani ibadah puasa kepada seluruh umat Islam.

“Semoga semua amal ibadat yang dilakukan akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT,” katanya.