Categories
AGENDA NASIONAL

Penyebar berita palsu vaksin remaja berdepan tindakan undang-undang

BAGAN SERAI, 3 OKT: Tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang menularkan video dan berita tidak benar mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja melibatkan pelajar sekolah di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata perbuatan tersebut bukan sahaja akan menganggu kelancaran program, malah akan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa serta pelajar yang akan mengambil vaksin.

“Saya memberi amaran tegas kepada sesiapa (penyebar video dan berita tidak benar) kerana perkara itu (berita tidak benar) tidak baik ditularkan sedangkan kita mahu menyelamatkan pelajar dan kesihatan mereka serta tidak mahu program vaksin membabitkan pelajar terganggu.

“Saya ingatkan semua orang, jangan memandai-mandai hantar video yang tidak benar kerana ia menjadikan orang takut, risau dan bimbang kerana macam-macam kes tidak benar dilaporkan. Saya kesal dan sangat marah dengan perkara yang tidak benar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke rumah mangsa banjir dan menziarahi tiga anak yatim piatu Mohd Omar Mikail, 7, Mohd Zaiful Iman Zulkifli, 11, dan Amar Nordiana, 16, yang kematian kedua-dua ibu bapa mereka akibat Covid-19, di Kampung Tanjung Bugis semalam.

Noor Azmi mengulas video yang tular mengenai beberapa kejadian pelajar sekolah termasuk dakwaan seorang pelajar meninggalkan dunia di Ipoh selepas suntikan vaksin, baru-baru ini.

Beliau yang juga ahli parlimen Bagan Serai berkata pihaknya mendapati tiada kematian membabitkan pelajar yang menerima suntikan vaksin setakat ini.

Justeru beliau meminta ibu bapa agar memantau keadaan anak-anak mereka yang sudah menerima suntikan vaksin dan segera membawa anak-anak mendapatkan rawatan di hospital serta melaporkan di aplikasi MySejahtera sekiranya mengalami sakit dada, sesak nafas atau jantung berdengup laju.

Menurutnya setakat ini, Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) juga tidak melaporkan mengenai kesan sampingan pengambilan vaksin terhadap remaja.

“Saya akan pantau setiap hari jika ada laporan, kita akan secara terus dan telus memaklumkan untuk pengetahuan rakyat,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Enggan terpengaruh berita palsu, warga emas nekad terima vaksin

MARANG, 21 JUN: Sebelum ini apabila disebut sahaja tentang vaksin, Maimun Abu Bakar akan gementar dan takut kerana terpengaruh dengan pelbagai berita palsu yang disebarkan, sehinggakan beliau tidak hadir pada janji temu suntikan vaksin Covid-19, awal bulan lepas.

Namun pendirian warga emas berusia 78 tahun itu berubah, setelah dipujuk ahli keluarga dan mendengar pengalaman tiga daripada lima orang anaknya, yang menerima kedua-dua dos suntikan vaksin tanpa mengalami kesan sampingan yang serius.

Apatah lagi Jumaat lepas, wakil daripada Pejabat Daerah Marang menghubunginya semula, bukan sekadar untuk memujuk malah menawarkan bantuan pengangkutan untuk ke pusat pemberian vaksin (PPV).

Justeru Maimun yang mempunyai 24 cucu dan 15 cicit itu, tidak ingin lagi melepaskan peluang kedua yang diberikan itu dan terus bersetuju untuk menerima dos pertama vaksin jenis Pfizer-BioNTech, semalam.

“Sebenarnya giliran tok pada 4 Mei lepas, tapi tok minta tangguh sebab tiada semangat untuk pergi vaksin dan dengar macam-macam cerita, termasuk ada yang sakit selepas disuntik. Lagipun masa itu bulan puasa jadi tok tidak larat nak pergi mana-mana.

“Tetapi bila tengok ramai sahaja yang divaksin tiada apa-apa masalah pun, jadi tok minta adik (Sarimah Abu Bakar, 55,) untuk daftarkan semula nama tok di telefon (aplikasi MySejahtera),” katanya ketika ditemui Bernama di PPV Dewan Utama Majlis Daerah Marang semalam.

Seperti dijanjikan, warga emas itu dijemput kakitangan Pejabat Daerah Marang, menggunakan kenderaan serba guna (MPV) pada pukul 10 pagi semalam di rumahnya di Kampung Seberang Marang dan dibawa ke PPV Dewan Utama Majlis Daerah Marang, kira-kira tiga kilometer dari kediamannya.

Beliau yang hadir berkerusi roda kerana telah uzur, selain menghidap kencing manis serta mempunyai masalah pendengaran sejak setahun lalu itu, bersyukur kerana proses vaksinasi berjalan lancar dan mengambil masa kurang 30 minit.

“Lagi tok gembira apabila adik tok (Sarimah) juga terima suntikan vaksin bersama tok hari ini (semalam). Inilah kenangan yang tidak akan kami lupakan dan kami pun ada tangkap gambar bersama tadi,” katanya sambil tersenyum.

Sementara itu Ketua Penolong Pegawai Daerah Marang Mohd Kamal Abdul Rahman berkata, pihaknya membuka sebuah bilik gerakan bagi melancarkan proses vaksinasi di daerah itu dan menyediakan tiga kenderaan iaitu masing-masing sebuah MPV, pacuan empat roda dan van, bagi memudahkan penerima yang menghadapi masalah pengangkutan.

“Setiap hari petugas di bilik gerakan akan menghubungi penerima vaksin sehari atau dua hari sebelum janji temu, untuk mengingatkan mereka dan bertanya sekiranya mereka perlukan kenderaan. Senarai nama mereka kami terima daripada Pejabat Kesihatan Daerah Marang.

“Kami juga minta keempat-empat pejabat DUN (Dewan Undangan Negeri) dan agensi kerajaan lain di daerah ini seperti Jabatan Kerja Raya Marang, untuk menyediakan kenderaan juga. Ini kerana setiap hari mesti ada penerima vaksin yang perlukan kenderaan. Macam hari ini sahaja lima orang penerima yang akan kita jemput di rumah. Kebanyakan mereka adalah warga emas dan penduduk di kawasan yang agak jauh dari PPV,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini dua PPV dibuka di Marang iaitu di Dewan Utama Majlis Daerah Marang dan Dewan Sivik Bukit Payong, yang masing-masing mempunyai kapasiti sehingga 1,000 penerima vaksin sehari.

“Setakat ini PPV Dewan Utama Majlis Daerah Marang setiap hari memberi suntikan kepada kira-kira 600 penerima vaksin (300 penerima dos pertama dan 300 penerima dos kedua), manakala PPV Dewan Sivik Bukit Payong yang baru dibuka 1 Jun, setakat ini memberi suntikan kepada 300 penerima bagi dos pertama setiap hari,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Enggan terpengaruh, warga emas padam mesej berita palsu vaksin

KUANTAN, 9 JUN: Enggan terpengaruh dengan maklumat palsu mengenai suntikan vaksin Covid-19, seorang warga emas bertindak memadam mesej dan menyekat nombor telefon individu yang menghantar maklumat itu kepadanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Pesara kerajaan Syed Ahmad Syed Zin, 78, berkata dia tidak mahu terpedaya dengan berita palsu seumpama itu kerana percaya vaksin adalah kaedah terbaik dalam mengekang penularan wabak Covid-19.

“Mesej mengarut yang diterima pun saya padam, kalau kerap sangat mereka hantar saya terus sekat, kalau mereka tidak mahu terima suntikan tidak perlu mempengaruhi dan menakutkan orang lain.

“Saya ada penyakit darah tinggi dan kencing manis, namun Alhamdulillah sejak menerima suntikan pertama pada 3 Mei lepas, saya tidak mempunyai apa-apa kesan sampingan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima suntikan dos kedua vaksin jenis Pfizer di Kompleks Asnaf Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang hari ini.

Seorang lagi warga emas, Zam Badu melahirkan rasa syukur dan gembira apabila secara kebetulan melengkapkan suntikan dos kedua vaksin pada hari lahirnya yang ke-74 tahun hari ini.

Bagaimanapun dia berkata, vaksinasi lengkap itu bukan ‘tiket’ untuk tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang telah ditetapkan.

“Kita masih kena jaga diri sendiri dan orang lain, jangan keluar jika tidak perlu…meskipun dah menerima vaksin risiko tetap ada. Bagi rakan-rakan seusia saya, tidak perlu bimbang kerana selepas suntikan tidak mempunyai apa-apa kesan,” katanya yang terpaksa bertongkat akibat kesan kemalangan motosikal pada 2014.

Sementara itu, Penyelaras Pusat Pemberian Vaksin Daerah Kuantan Dr Rashidah Abdul Rahman berkata seramai 254 individu daripada 14 pusat jagaan warga emas bersetuju dan layak menerima suntikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Menurut beliau, pemberian vaksin hanya dilakukan selepas mendapat persetujuan daripada waris kesemua penghuni berkenaan terlebih dahulu.

“Sememangnya ada yang menolak untuk menerima vaksin, tetapi kita akan cuba sedaya upaya memberi penerangan tentang kepentingan vaksin, sekiranya mereka masih enggan kami akur, kerana tiada paksaan untuk menerima vaksinasi,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis buru wanita sebar berita palsu pemanah negara mati akibat vaksin

SHAH ALAM, 24 MEI: Polis mengesan seorang wanita susulan tersebar berita palsu yang mendakwa punca kematian pemanah negara, Haziq Kamaruddin disebabkan pengambilan vaksin AstraZeneca.

Ketua Polis Daerah Kajang berkata berita menerusi video selama tiga minit 34 saat itu turut mendakwa Kementerian Kesihatan (KKM) menyembunyikan punca sebenar kematian atlet berkenaan.

“Kita menerima laporan rakaman video berita palsu pada 22 Mei lalu dan siasatan mendapati rakaman itu dimuat naik menerusi status WhatsApp milik penama Aqila Yusri selain dimuat naik dalam Instagram @agilayusri.

“Hasil penelitian video mendapati wanita itu mendakwa kematian Haziq berpunca daripada saluran darah tersumbat akibat mengambil vaksin tersebut,” kata Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan kes tersebut itu disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.

Sementara itu, semakan Selangorkini di Instagram @agilayusri mendapati wanita itu memohon maaf di atas kenyatannya berhubung isu berkenaan.

“Saya ingin memohon maaf diatas kenyataan saya berkenaan vaskin AstraZeneca, bahawa vaksin tersebut boleh menyebabkan darah beku di jantung serta mempunyai hubung kait dengan kematian arwah Haziq,” katanya.

Sebelum ini, KKM menerusi kenyataan memaklumkan kematian Haziq pada 14 Mei lalu adalah disebabkan komplikasi salur darah jantung tersumbat akibat daripada perubahan arterosklerosis.

Kenyataan itu memetik Ketua Perkhidmatan Perubatan Forensik Datuk Dr Zahari Noor yang berkata hingga kini tiada bukti menunjukkan kematian Haziq yang pernah mewakili negara ke Sukan Olimpik berkait langsung dengan vaksinasi Covid-19.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Persatuan: Tidak benar 40 peratus penduduk Seksyen 23 dijangkiti Covid-19

SHAH ALAM, 17 MEI: Dakwaan 40 peratus penduduk Seksyen 23 di sini dijangkiti Covid-19 seperti tersebar di media sosial dan aplikasi WhatsApp tidak benar.

Persatuan Komuniti Penduduk Seksyen 23 (PKS23) menegaskan, dakwaan jangkitan virus berpunca daripada seorang jemaah tarawih juga palsu.

Sehubungan itu, persatuan komuniti akan mengambil tidakan lanjut ke atas pihak tidak bertanggungjawab menyebar dakwaan berkenaan.

“Untuk makluman kes jangkitan Covid-19 di kawasan Seksyen 23 tidak seperti yang dihebahkan serta masih terkawal.

“Virus ini bukanlah keseluruhan kes tersebar melalui jemaah surau,” katanya dalam kenyataan semalam.

PKS23 menjelaskan setakat 15 Mei, jumlah peratus rumah yang terkesan dengan pandemik itu adalah 7.5 peratus iaitu 2.5 peratus penduduk positif Covid-19.

“Berkenaan dakwaan ambulans keluar masuk kawasan Seksyen 23, ia adalah milik syarikat swasta yang berpengkalan di sini dan tidak membawa pesakit Covid-19.

“Sehingga kini, tiada tindakan memasang pagar atau pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) oleh pihak berkuasa dilaksanakan di Seksyen 23,” katanya.

Pada Sabtu, satu artikel berkenaan penduduk di situ mendakwa komuniti berkenaan dijangkiti Covid-19 sebanyak 40 peratus dengan situasi makin tenat tular melalui aplikasi WhatsApp.

Menurut artikel itu, virus tersebut tersebar daripada seorang jemaah terawih yang positif Covid-19 setelah mempunyai kontak rapat dengan pesakit yang dijangkiti virus terbabit.

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Tular berita palsu Covid-19, polis buka 12 kertas siasatan

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka 12 kertas siasatan di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021 berhubung penularan berita tidak benar mengenai Covid-19.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021 membabitkan mereka yang mengadakan, menawarkan, menerbitkan, mencetak, mengedarkan, mengeliling atau menyebarkan apa-apa berita tidak benar sehingga menyebabkan ketakutan atau kebimbangan orang ramai.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata terkini satu kertas siasatan dibuka terhadap kenyataan Facebook yang dikeluarkan seorang lelaki mendakwa pesawat penerbangan MH191 dari New Delhi, India dikatakan membawa masuk penumpang ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau berkata kenyataan itu tidak benar dan boleh menimbulkan kegusaran serta kebimbangan orang ramai berhubung langkah diambil kerajaan dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

Selain itu, katanya PDRM turut menjalankan siasatan terhadap seorang lagi lelaki pemilik akaun Facebook mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana membuat hantaran yang mengandungi kenyataan jelik serta mengaibkan kerajaan.

“Kedua-dua hantaran itu dibuat selepas kerajaan mengeluarkan arahan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 28 April lalu yang melaksanakan sekatan sementara penerbangan penumpang keluar dan masuk dari India bagi mencegah kemasukan varian baharu Covid-19 dari negara berkenaan,” kata Huzir dalam satu kenyataan semalam.

Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) yang diwartakan pada 11 Mac lalu adalah khusus untuk mengekang aktiviti penghasilan dan penularan berita tidak benar yang mempunyai kaitan dengan wabak Covid-19 atau Proklamasi Darurat 2021.

Undang-undang ini sekali gus memberi kuasa kepada PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menangkap tanpa waran mana-mana individu atau pertubuhan perbadanan yang cuba menyiar serta menyebarkan berita tidak benar khususnya di media sosial.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada vaksin Covid-19 Pfizer dijual di platform Shopee

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Platform pembelian secara dalam talian Shopee menafikan pihaknya menawarkan vaksin Pfizer’s Covid-19 untuk jualan, sebagaimana yang dipaparkan menerusi satu foto yang tular di Twitter dan WhatsApp sejak beberapa hari lepas.

Shopee dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa pihaknya tidak dapat mengesan sebarang senarai jualan barang berkenaan di platform mereka.

“Penulis twit itu mengesahkan bahawa imej dalam foto berkenaan sebenarnya telah diubah suai, dan ia sememangnya palsu. Imunisasi Covif-19 adalah perkara yang berkaitan kesihatan negara, ia tidak seharusnya dianggap perkara remeh,” menurut kenyataan itu semalam.

Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengesahkan bahawa berita mengenai penjualan vaksin itu adalah palsu.

Shopee turut mengingatkan pihak yang menyebar maklumat palsu mengenai vaksin itu bahawa perkara berkenaan sedang dipantau oleh polis dan MCMC.

“Dua hari lepas, satu gambar palsu yang kononnya menunjukkan penjualan vaksin Covid-19 Pfizer di Shopee telah menjadi tular, dan ia disertakan dengan maklumat kononnya vaskin itu dijual pada harga RM63.88,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis akan siasat individu sebar berita palsu bantah vaksin

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuka kertas siasatan jika ada mana-mana individu yang menyebarkan berita palsu membantah suntikan vaksin Covid-19.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata kertas siasatan akan dibuka sekiranya PDRM menerima laporan polis berhubung isu itu.

Beliau berkata kes akan disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

“Setakat ini, tiada sebarang laporan polis diterima dan PDRM menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan atau mencetuskan kegusaran kepada masyarakat,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima suntikan vaksin Covid-19, menandakan bermulanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, yang menyasar untuk memberikan imunisasi secara percuma kepada penduduk negara ini, baik rakyat tempatan mahupun warga asing.

Muhyiddin menerima suntikan dos pertama vaksin jenis Pfizer-BioNTech di Pejabat Kesihatan Daerah Putrajaya, yang merupakan antara Pusat Pemberian Vaksin yang dikenal pasti bagi program imunisasi terbesar negara itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan bimbang sebaran berita palsu kian berleluasa

SHAH ALAM, 4 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan penyebaran berita palsu dalam kalangan rakyat, ahli politik dan penjawat awam.

Menerusi kenyataan Istana Alam Shah, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah rasuah dan fitnah adalah perbuatan yang dilarang serta berdosa di sisi agama.

“Suasana ketika ini diburukkan lagi dengan penyebaran berita palsu berunsur fitnah yang kian berleluasa di media sosial. Baginda tidak mahu kepincangan dan perpecahan di arena politik merebak sehingga memecah-belahkan rakyat,” titah baginda.

Berikutan itu, Sultan Selangor menyeru rakyat terus bersatu padu dan bijak menepis anasir tidak baik demi kesejahteraan negara serta generasi akan datang.

Baginda percaya negara akan terus maju jika rakyat bersatu, berkhidmat dan berbakti serta melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Polis nafi stadium tertutup Shah Alam tempat tampung pesakit Covid-19

KUALA LUMPUR, 26 DIS: Polis menafikan sekumpulan individu ditempatkan di sebuah stadium tertutup di Shah Alam ekoran berlaku kesesakan di Hospital Sungai Buloh yang tidak dapat menampung jumlah pesakit Covid-19 seperti tular di media sosial.

Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed mengesahkan berita yang disebarkan melalui video klip itu adalah berita palsu.

“Masyarakat diminta bertenang dan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang bentuk berita palsu yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.

Arjunaidi juga menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang perkongsian atau menyebarkan sebarang berita yang diperoleh daripada sumber yang tidak sahih.

Tegasnya perbuatan tersebut boleh mencetuskan suasana panik, tidak harmoni dan menggugat ketenteraman awam sambil meminta orang ramai mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa terlebih dahulu tentang kesahihan sesuatu isu atau berita.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Berita PKPD seluruh Selangor mulai hari ini tidak benar – polis

SHAH ALAM, 12 DIS: Polis mengesan berita palsu di media sosial berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di seluruh Selangor mulai hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata berita berkenaan tidak benar dan meminta orang ramai supaya bertenang serta tidak mempercayainya atau terpengaruh.

“Orang ramai juga diminta tidak membuat perkongsian atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih.

“Perbuatan ini menyebabkan kegusaran masyarakat dan boleh menggugat ketenteraman awam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular berita yang tertera ayat ‘PKPD di Selangor serta-merta, bermula 12 Disember 2020 dan semua pintu masuk dan keluar Selangor’ yang berlatar belakang siaran berita televisyen tempatan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Istana Negara pandang serius berita palsu babit Agong

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Istana Negara memantau dan memandang serius kenyataan tidak benar beberapa individu kepada media, yang menggunakan nama dan gambar Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, serta Istana Negara melalui aplikasi WhatsApp.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Istana Negara memandang serius perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan nama atau membabitkan Seri Paduka dan Istana Negara, untuk menyebar berita palsu sama ada bagi kepentingan politik atau peribadi.

“Tindakan yang tidak bertanggungjawab sedemikian bukan sahaja mencemarkan kredibiliti KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Istana Negara, malah boleh menimbulkan kegusaran rakyat serta menggugat ketenteraman dalam negara dari pelbagai sudut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Fadil berkata, Istana Negara tidak akan teragak-agak melaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tindakan lanjut, di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 jika perlu.

Dalam pada masa sama, Istana Negara menyeru rakyat agar tidak mudah panik dan percaya dengan berita palsu yang tersebar.

“Istana Negara menyarankan agar berita-berita palsu ini tidak dikongsi bersama, untuk mengelakkan tindakan oleh pihak PDRM juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia,” tegas Datuk Pengelola Bijaya Diraja.

-BERNAMA