SHAH ALAM, 14 APRIL: Penutup mulut dan hidung, bekas cecair pembasmi kuman serta sarung tangan terpakai antara sampah paling banyak ditemui di Sungai Klang sejak Mac lalu, kata pengarah urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd.
Sebagai peneraju yang bertanggungjawab menjalankan kerja pembersihan Sungai Klang, Syaiful Azmen Nordin berkata kesemua peralatan perlindungan diri itu dikategorikan sebagai sampah baharu.
“Masyarakat perlu melupuskan sampah seperti penutup mulut dan hidung, bekas cecair pembasmi kuman dan sarung tangan terpakai dengan kaedah yang betul sebelum dibuang ke dalam tong sampah. Sampah-sampah tersebut tidak boleh dibuang merata-rata.
“Sampah yang tercampak ke dalam longkang akhirnya mengalir ke dalam sungai, lalu menyumbang kepada pencemaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Landasan Lumayan Sdn Bhd merupakan anak syarikat Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab bagi projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) untuk kerja-kerja pembersihan Sungai Klang sepanjang 120 kilometer.
Ia bermula dari kawasan sungai di Ampang, Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan seterusnya Klang.
Sejak November tahun lalu, agensi itu mengutip antara 1,200 hingga ke 1,500 tan sampah sebulan di Sungai Klang.
Sebelum ini, pecinta alam sekitar di Hong Kong turut meluahkan masalah sama apabila penutup mulut dan hidung semakin menimbun di pantai susulan penularan Covid-19.
Pengasas kumpulan Oceans Asia, Gary Stokes berkata sejumlah besar penutup mulut dan hidung yang dibuang sejak Februari lalu kini memberikan kesan terhadap alam sekitar.