Categories
ADN SELANGOR

ADN cadang bantuan untuk peniaga berpremis

SHAH ALAM, 18 MEI: Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik mahu mencadangkan bantuan tunai sekali bayar diberi kepada peniaga yang memiliki premis.

Najwan Halimi berkata mereka memerlukan bantuan itu bagi menyuntik kembali modal perniagaan berikutan perniagaan mereka terjejas teruk sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya akan usulkan cadangan ini kepada Kerajaan Negeri khususnya Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari untuk beliau kaji bantuan kepada kelompok berkenaan,” katanya ketika melawat peniaga di Tempat Orang Lokal (TOL) Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, hari ini.

Najwan berkata pakej rangsangan Selangor Prihatin fasa satu dan dua lebih menumpukan bantuan kepada penjaja kecil termasuk gerai dan penjaja tepi jalan manakala peniaga berpremis tidak tergolong sebagai penerima.

Dalam lawatan yang turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC), Fakru Radzi Ab Ghani, beliau berpuas hati berikutan peniaga dan pengurus premis PKNS mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.