KUALA LUMPUR, 7 MEI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham ke rahmatullah dan berharap agar seluruh keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi dugaan dan suasana pilu itu.
“Jasa, khidmat serta bakti Allahyarham sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang amat dihargai oleh Seri Paduka Baginda berdua,” katanya dalam satu kenyataan Istana Negara hari ini.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mendoakan agar roh Allahyarham dirahmati Allah SWT dan ditempatkan bersama solihin.
Abu Bakar, 60, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur dipercayai akibat serangan jantung, awal pagi tadi.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengesahkan pemergian Allahyarham dalam catatan di Facebook dan Instagram rasminya.
Jenazah Abu Bakar akan dibawa pulang dari Kuala Lumpur untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Chini lewat pagi ini.
Allahyarham Abu Bakar meninggalkan isteri Datin Seri Razana Fatin Abdullah@Razali dan difahamkan dua orang anak, hasil perkahwinan pertama arwah.
Abu Bakar merupakan penyandang kerusi DUN Chini sejak 2004.