Categories
AGENDA GLOBAL

Ancaman Covid-19 tidak akan hilang – WHO

GENEVA, 14 MEI: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran, Covid-19 tidak akan hilang dan seluruh penduduk dunia perlu terima hakikat serta belajar hidup dengan penyakit ini.

Ketika beberapa negara di seluruh dunia beransur-ansur melonggarkan sekatan perintah berkurung untuk menghentikan Covid-19, WHO mengatakan ia mungkin tidak akan menghapuskan sepenuhnya.

AFP melaporkan, virus ini kali pertama muncul di Wuhan, China dan kini sudah menjangkiti lebih daripada 4.2 juta orang di seluruh dunia dan membunuh hampir 300,000 orang.

“Kami mempunyai virus baharu yang menyerang populasi manusia, oleh itu sangat sukar untuk diramalkan bila kita akan mengatasinya.

“Virus ini mungkin menjadi virus endemik lain dalam kalangan penduduk dunia dan mungkin ia tidak akan hilang,” kata Pengarah Kecemasan WHO, Michael Ryan pada sidang media di sini semalam.

Ryan berkata, sejak kemunculannya, lebih separuh penduduk dunia terpaksa mengikut perintah berkurung.

Justeru, WHO memberi amaran bahawa tidak ada jaminan bagi kebanyakan negara yang mula melonggarkan sekatan perintah berkurung tidak akan mencetuskan gelombang kedua jangkitan.