Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: 971 kes positif babit individu rentas negeri – KKM

SHAH ALAM, 17 MEI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khuatir dengan peningkatan kes Covid-19 membabitkan aktiviti pergerakan dan perjalanan individu merentas negeri terutama menjelang perayaan Aidilfitri, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat hari ini sebanyak 971 kes positif atau kira-kira 14.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes mempunyai sejarah merentas negeri.

“Sebanyak 18 kluster daripada jumlah keseluruhan 49 kluster yang pernah dicatatkan di negara ini berkaitan dengan aktiviti merentas negeri.

“10 daripada kluster-kluster itu juga masih aktif,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata masyarakat harus berwaspada sepanjang tempoh perayaan yang bakal tiba kerana ada kemungkinan menjadi pemangkin penularan jangkitan Covid-19 ke kawasan yang sudah mencapai status hijau.

“Tindakan pembendungan wabak ini sememangnya tanggungjawab semua orang dan penting pemerkasaan awam termasuk komuniti, keluarga dan individu seperti disaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Semua lapisan masyarakat perlu mengambil tanggungjawab sosial dengan kekal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya.