Categories
AGENDA NASIONAL

Cadangan Selangor guna RTK Antigen diterima kerajaan pusat

SHAH ALAM, 27 JULAI: Cadangan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) supaya keputusan ujian kit pantas antigen (RTK-Ag) digunakan untuk mengesahkan kes virus kini diterima kerajaan pusat, kata ahli parlimen Kuala Selangor.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, yang juga pengerusi STFC, berkata kepantasan penting dalam mengurus pandemik dan memutuskan rantaian wabak sebaliknya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya berdasarkan ujian polimeras masa nyata (rt-PCR).

Bekas menteri kesihatan itu berkata seseorang perlu menunggu panggilan daripada pusat kesihatan daerah sebelum disaring di klinik kesihatan sehingga mewujudkan waktu senggang antara tiga hingga lima hari.

“Dalam keadaan sekarang ini, harus ada ujian murah, segera dan frekuensi tinggi, rt-PCR adalah ujian klinik manakala RTK-Ag ujian epidemiologi untuk mengawal perebakan.

“Tetapi Alhamdulillah selepas hampir satu tahun setengah, saya perhatikan sudah ada perubahan apabila pengesahan Covid-19 dibuat berdasarkan RTK-Ag dan tiada keperluan mengulangi ujian rt-PCR,” katanya ketika berbahas pada hari kedua sidang khas Parlimen hari ini.

Dr Dzulkefly berkata keadaan tersebut menyebabkan kes positif di seluruh negara semakin meningkat termasuk di Selangor yang sering berdepan stigma masyarakat.

“Orang tanya bila (kes) Selangor hendak turun, saya kata Selangor tidak akan turun angkanya kerana kami memerhatikan kadar positif bermula dari 10, 13, 15, 17 dan satu masa 19 pun ada.

“Kita tidak malu kerana angka tinggi tetapi kita malu kalau ada kes kematian terutamanya jenazah dibawa ke hospital (BID),” tegasnya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Saringan bersasar ikut saranan WHO, kata pengerusi STFC

SHAH ALAM, 27 JULAI: Langkah Kerajaan Selangor mengadakan saringan Covid-19 besar-besaran sejak tahun lalu selaras gesaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam mengawal wabak, kata ahli parlimen Kuala Selangor.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, yang juga pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC), berkata badan dunia itu mengesyor kaedah FTTIS (cari, uji, jejak, asing, sokong) diguna pakai Kerajaan Negeri.

Tambahnya, STFC menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan titik panas sebelum saringan dilaksana tetapi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) waktu itu hanya memberi tumpuan ujian kontak rapat.

“Kami melakukan saringan bersasar sebelum berlaku kluster dan menerusinya kita mendapati ada kawasan jangkitan positifnya melangkaui lebih 20 peratus.

“Andai tidak dilakukan inilah menyebabkan terjadi perebakan dan menjangkiti komuniti, jangkitan boleh berlaku dua arah sama ada dari rumah atau di tempat kerja,” katanya pada hari kedua sidang khas Parlimen.

Sejak diperkenal April tahun lalu, Kerajaan Negeri menyaring lebih 120,000 penduduk  menerusi tiga fasa Saringan Komuniti yang berakhir Jun lalu.

Dr Dzulkefly berucap apabila diberi laluan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menyampaikan penerangan berhubung peranan kerajaan mengawal Covid-19.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor catat hampir 13,000 kes Covid-19 dalam 14 hari

SHAH ALAM, 18 JAN: Selangor merekodkan 12,866 kes Covid-19 dalam tempoh antara 5 Januari sehingga hari ini, kata Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Agensi tersebut berkata pecahan mengikut daerah pula menunjukkan Klang mencatat jumlah paling tinggi sepanjang 14 hari tersebut dengan 4,849 kes.

Daerah yang turut mencatat kes empat digit adalah Hulu Langat dengan 2,363, Petaling (2,267), Sepang (1,109) dan Gombak (1,038).

Kes di Kuala Langat pula 683, Kuala Selangor (379), Hulu Selangor (130) dan Sabak Bernam (48).

Selangor merekodkan 1,213 kes baharu hari ini dengan 552 kes melibatkan penularan kluster, 360 kes saringan kontak rapat, 300 kes saringan lain-lain dan satu kes import.

Jumlah penularan harian paling tinggi pernah dicatat di negeri ini adalah 1,623 kes pada 24 November tahun lalu.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sabak Bernam daerah tunggal sifar kes harian Covid-19

SHAH ALAM, 18 JAN: Sabak Bernam menjadi satu-satunya daerah di Selangor merekodkan sifar kes baharu Covid-19 hari ini, kata Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Agensi tersebut berkata Petaling pula merekodkan kes baharu paling tinggi dengan 571 diikuti Hulu Langat (216) dan Klang (217).

Sepang pula 66 kes manakala Kuala Langat (60), Gombak (50), Kuala Selangor (25) dan Hulu Selangor (tujuh) menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri ini 48,046 dengan 7,817 daripadanya kes aktif.

Selain itu, STFC turut mengingatkan masyarakat patuh tatacara operasi piawai (SOP), amalkan penjarakan fizikal, pakai pelitup muka dan basuh tangan secara kerap.

Selangor merekodkan 1,213 kes harian dengan 552 kes melibatkan penularan kluster, 360 kes saringan kontak rapat, 300 kes saringan lain-lain dan satu kes import.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Covid-19: 22 mukim di Selangor dalam zon merah

SHAH ALAM, 9 JAN: Sebanyak 22 mukim dari seluruh daerah di Selangor dikategorikan zon merah Covid-19 dalam tempoh dua minggu bermula 26 Disember sehingga semalam.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) memaklumkan Hulu Langat merekodkan zon berbahaya paling banyak dengan lima mukim meliputi Ampang, Cheras, Hulu Langat, Kajang dan Semenyih.

Empat mukim di Gombak membabitkan Batu, Hulu Kelang, Rawang dan Setapak manakala di Petaling pula meliputi Bukit Raja, Damansara, Petaling dan Sungai Buloh.

“Sebanyak tiga mukim zon merah di Kuala Selangor iaitu Ijok, Jeram dan Tanjung Karang,” menurut data agensi itu menerusi Facebook.

Sementara itu, dua kawasan berstatus merah di Klang dan Kuala Langat merangkumi Kapar, Klang, Tanjung 12 (1) serta Teluk Panglima Garang.

Sepang dan Hulu Selangor masing-masing merekodkan satu mukim zon merah iaitu di Dengkil serta Serendah.

Semalam, kes baharu Covid-19 di Selangor meningkat kepada empat digit dengan 1,086 kes menjadikan keseluruhan 38,433.

Categories
AGENSI SELANGOR

Syarikat industri, kilang digesa sertai program cegah penularan Covid-19

SHAH ALAM, 7 JAN: Syarikat perindustrian dan pengilangan digesa sertai program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerja.

Ahli Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC), Dr Yap Wei Aun berkata penyertaan dalam program anjuran agensi itu akan memberi impak besar dalam usaha negara mengawal pandemik berkenaan.

“POIS diperkenalkan kepada majikan seluruh Selangor terlebih dahulu kerana negeri ini mempunyai kadar tenaga kerja asing yang tinggi.

“Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor juga digalakkan menyertai program ini memandangkan negeri terbabit turut mempunyai kawasan perindustrian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, Kerajaan Selangor ketika ini giat mengenal pasti pihak majikan yang wajib menyertai inisiatif berkenaan.

“Mana-mana syarikat boleh mengambil peluang ini namun di peringkat awal, kita mengutamakan syarikat perindustrian dan pembuatan yang mempunyai bilangan pekerja ramai.

“Majikan yang mahu mendapatkan maklumat lanjut boleh layari laman sesawang pois.selangkah.my serta melakukan pendaftaran,” katanya.

POIS yang mempunyai beberapa komponen dilancarkan bagi mencegah dan mengurangkan kluster jangkitan tempat kerja.

Ia turut melibatkan platform Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) selain memerlukan kerjasama antara majikan, pekerja dan pihak berkuasa.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kes Covid-19 meningkat, masyarakat perlu saling berpesan

SHAH ALAM, 19 NOV: Masyarakat digesa patuh tatacara operasi piawai (SOP) susulan kes harian tertinggi direkodkan hari ini, kata Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Agensi tersebut berkata sebanyak 361 kes baharu di negeri ini dikesan menerusi saringan kluster sedia ada, 26 saringan lapangan, 19 saringan kontak rapat dan satu Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (Sari).

“Amalkan dan sentiasa berpesan kepada orang ramai tentang penjarakan fizikal, pakai pelitup muka serta basuh tangan secara kerap,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Selangor mencatat kes harian Covid-19 tertinggi hari ini dengan 407 kes. Peningkatan kes berpunca Kluster Teratai (245 kes) dan Kluster Kapas BJ (55 kes).

Sebanyak 1,290 kes Covid-19 dilaporkan dengan 1,067 jangkitan di Sabah dan negeri ini.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Covid-19: Patuh SOP, semak status terkini mukim – STFC

SHAH ALAM, 26 OKT: Masyarakat digesa patuh tatacara operasi piawai (SOP) susulan kes harian tertinggi direkodkan hari ini, kata Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Agensi tersebut memaklumkan sebanyak 109 kes baharu di negeri ini dikesan menerusi saringan kluster sedia ada, 34 kes saringan kontak rapat dan 33 kes saringan lapangan.

“Amalkan dan sentiasa berpesan kepada orang ramai tentang penjarakan fizikal, pakai pelitup muka serta basuh tangan secara kerap.

“STFC turut menyediakan info grafik kes baharu mengikut mukim di Selangor bagi tempoh 14 hari bermula 13 sehingga 26 Oktober,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Berdasarkan status terkini dikongsi STFC, mukim dikategorikan zon merah adalah Sungai Buloh dengan 279 kes, Kajang (166), Petaling (137), KLang (133), Damansara (119), Labu (94), Tanjung 12 (80), Kapar (49) dan Dengkil (44).

Selangor merekodkan angka harian Covid-19 tertinggi dengan 176 kes hari ini. Penularan wabak di Malaysia juga merekodkan angka tertinggi dengan 1,240 kes menjadikan jumlah keseluruhan 27,805 kes dengan 9,774 daripadanya kes aktif.

Pada 20 Oktober Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 26 kluster Covid-19 dikesan dalam tempoh tiga minggu di Selangor.

Kluster Jalan Apas Sabah adalah kluster pertama dikesan di negeri ini pada 28 September. Kluster lain antaranya Kluster Jalan Meru, Kluster Bah Puchong, Kluster Seri Setia, Kluster Jelok dan Kluster Seri Anggerik.

Categories
AGENSI SELANGOR

Hulu Langat catat 49 kes baharu Covid-19, tertinggi di Selangor

SHAH ALAM, 20 OKT: Hulu Langat mencatatkan kes baharu Covid-19 tertinggi di Selangor hari ini dengan 49 kes.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor berkata daerah kedua terbanyak adalah Petaling dengan 39 kes diikuti Gombak (12), Klang dan Kuala Langat masing-masing 11, Sepang (sembilan) dan Kuala Selangor (satu).

Sementara itu Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) memaklumkan pertambahan 132 kes itu menjadikan jumlah terkumpul 3,489 di negeri berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdulah berkata Selangor mencatatkan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak sejak 28 September lalu dan ia bermula setelah kemasukan dan kepulangan pengunjung dari Sabah.

Sementara itu, kes baharu di negara ini pula merekodkan angka melebihi 800 kes selama empat hari berturut-turut dengan 862 kes hari ini.

Kes tertinggi dicatat pada Ahad lalu iaitu 871 manakala sehari sebelumnya 869 kes dan semalam 865.

Keseluruhannya, sebanyak 22,225 kes positif wabak dilaporkan dengan 7,681 kes aktif.

Categories
AGENSI SELANGOR

Covid-19: Masih tiada vaksin, rakyat diminta terus patuh SOP

SHAH ALAM, 18 OKT: Rakyat diminta terus kekal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dalam mencegah Covid-19 susulan vaksin bagi mengatasinya masih belum ditemui.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) memaklumkan ia adalah penyelesaian setakat ini dengan terus mengamalkan pemakaian pelitup muka, menggunakan cecair pembasmi kuman, amalkan jarak sosial dan kerap membasuh tangan.

“Covid-19 seolah-olah tiada pengakhiran yang boleh dilihat lagi. Dengan lebih 16 juta kes jangkitan yang melibatkan lebih sejuta kematian, semestinya fenomena ini menggerunkan penduduk antarabangsa.

“Walaupun masalah ini merupakan isu sejagat, kita ada peranan sangat penting dan kritikal,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

STFC turut menambah sehingga kini kes positif Covid-19 mencecah 16 juta di benua Amerika serta empat negara, Amerika Syarikat, Brazil, India dan Rusia sudah merekodkan lebih sejuta kes.

“Perjalanan antarabangsa masih sangat terhad dan mengganggu perdagangan. Setiap hari, semua orang cemas memikirkan nasib yang terkesan dengan kejatuhan ekonomi ketara. Malah kekangan aktiviti harian membantutkan sebarang potensi yang membawa manfaat,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor catat 278 kes aktif, orang awam diminta patuh SOP

SHAH ALAM, 11 OKT: Sebanyak 278 kes aktif dengan kebolehjangkitan direkodkan di Selangor, kata Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Dari jumlah itu, 109 kes melibatkan individu mendapat jangkitan dari negeri lain.

Pasukan itu menasihatkan orang awam terus patuh tatacara operasi piawai (SOP) dan tidak melawat mana-mana individu yang sedang menjalani kuarantin.

“Keutamaan kini adalah nyawa serta kebajikan masyarakat serta buang sikap mementingkan diri sendiri. Amalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka serta kerap basuh tangan,” katanya menerusi Facebook.

Menurut STFC, sebanyak 216 kes dicatatkan sepanjang 3 Oktober hingga Jumaat lalu dengan 214 jangkitan tempatan.

“Corak peningkatan sangat ketara apabila dibandingkan dengan minggu sebelumnya iaitu 93 kes direkodkan melibatkan 90 jangkitan tempatan. Corak ini selari dengan kadar jangkitan kebangsaan,” katanya.

Hari ini Selangor mencatatkan 26 kes baharu menjadikan keseluruhan 2,601 kes.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kes Covid-19 meningkat, masyarakat diingat jangan ambil mudah

SHAH ALAM, 28 SEPT: Masyarakat di negeri ini diingatkan tidak mengambil mudah situasi semasa penularan Covid-19 susulan peningkatan kes harian.

Justeru Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) meminta orang ramai patuh tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan dan saling berpesan mengenai kepentingan penjarakan fizikal, pelitup muka serta kerap basuh tangan.

“Hari ini (semalam) 19 kes aktif telah wujud dalam Selangor. Apabila terdapat jangkitan tempatan, maka kes tersebut akan diambil kira untuk menentukan demografi taburan kes aktif.

“Tentukan mukim anda dan rujuk infografik berdasarkan mukim anda untuk mengetahui status kes aktif Covid-19 di tempat anda,” katanya menerusi Facebook.

Kes Covid-19 di Selangor kembali kepada dua angka selepas merekodkan 11 kes baharu semalam dengan Hulu Selangor mencatat lima kes, Klang (tiga), Petaling dan Hulu Langat (masing-masing satu) serta kes import (satu).