Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Guna aplikasi ‘Price Catcher’ buat perbandingan harga barang keperluan

KUALA BERANG, 22 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyarankan para pengguna memanfaatkan aplikasi ‘Price Catcher’, bagi membandingkan harga barangan keperluan, terutama pada musim perayaan ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, aplikasi itu membolehkan pengguna mengakses maklumat harga lebih 400 barangan keperluan di pasar awam, pasar raya dan kedai runcit yang terpilih di seluruh Malaysia.

Kesemua harga barangan dimasukkan dan dikemas kini ke dalam aplikasi itu oleh 1,100 pegawai pemantau harga KPDNHEP di seluruh negara secara harian, mingguan dan bulanan.

“Aplikasi ini memudahkan dan menjimatkan masa pengguna dan mereka boleh merancang perbelanjaan dengan memilih premis yang menawarkan harga yang berpatutan.

“Ia juga dapat mendorong para peniaga menjadi lebih beretika dan meletakkan harga yang munasabah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2020 bagi negeri Terengganu di sini, semalam.

Dalam pada itu Rosol mengakui masih terdapat sebilangan besar pengguna di negara ini tidak menyedari kewujudan aplikasi ‘Price Catcher’ walaupun ia telah dibangunkan oleh KPDNHEP sejak 2018.

Terdahulu, Rosol mengumumkan sebanyak 10 jenis barangan yang telah ditentukan harga maksimum yang perlu dipatuhi peniaga sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2020 bagi Terengganu, yang akan bermula 20 Mei sehingga 30 Jun ini.

Antara harga barangan yang dikawal harga ialah ayam standard, telur ayam, daging lembu tempatan dan kelapa parut.

– BERNAMA