Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

IBDE terjemah novel pemenang Hadiah Nobel

SHAH ALAM, 13 MEI: Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) menerbitkan tiga buku terjemahan termasuk novel karya Naguib Mafouz, pemenang Hadiah Nobel bagi kesusasteraan pada 1988.

Ketua pengarangnya berkata dua lagi buku berjudul Amir Abdul Kadir: Sang Pendamai, Wali dan Pahlawan karangan Ahmed Bouyerdene dan Surat Kepada Penyair Muda (Rainer Maria Rilke).

Al-Mustaqeem M Radhi

“Novel Khianat adalah karya pertama diterjemah daripada bahasa Arab ke bahasa Melayu, malah Naguib dianggap sasterawan Arab paling terkemuka. Naguib merupakan sasterawan Mesir dan pemenang Hadiah Nobel bagi sastera,” kata Al-Mustaqeem M Radhi.

Beliau menambah Amir Abdul Kadir: Sang Pendamai, Wali dan Pahlawan pula memaparkan biografi panglima perang Arab paling digeruni Perancis ketika tokoh sufi itu memperjuangkan kemerdekaan Algeria pada abad ke-19.

“Selepas meletak senjata melawan Perancis dan semasa hidup dalam buangan di Syria, tokoh ini selamatkan penduduk Kristian Damsyik daripada pembunuhan beramai-ramai,” katanya kepada SelangorKini.

Buku Surat Kepada Penyair Muda pula, kata Al-Mustaqeem, karya itu banyak diterbitkan sebelum ini tetapi semuanya hasil terjemahan daripada bahasa Inggeris.

“Berbeza dengan edisi terbitan IBDE, karya ini langsung diterjemah daripada bahasa Jerman kepada bahasa Melayu,” tegasnya.

Sejak empat tahun lalu, IBDE melalui program Pencerahan Selangor gigih menerbitkan buku adikarya dunia, sebahagian karya itu berusia ribuan tahun, meliputi biografi tokoh, agama, falsafah dan sejarah.

Tempahan boleh dibuat melalui Facebook Inisiatif Buku Darul Ehsan atau layari laman sesawang buku-ibde.com.