KUALA LUMPUR, 2 MEI: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula Isnin ini seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin semalam, merupakan satu khabar gembira buat rakyat Malaysia setelah hampir dua bulan ‘terkurung’ di dalam rumah.
Kebenaran untuk sebahagian besar sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan beroperasi, selain kebenaran beberapa aktiviti lain dengan tertakluk kepada Tatacara Operasi Piawai (SOP) ketat, pasti amat ditunggu-tunggu oleh rakyat untuk kembali bekerja, lebih-lebih lagi ramai yang telah terputus mata pencarian ekoran pelaksanaan PKP.
Dalam tempoh berkenaan telah ramai yang kehilangan pekerjaan, tidak kurang yang terpaksa dipotong gaji, apabila majikan masing-masing sudah tidak mampu untuk menampung kerugian dan hal ini berlaku di hampir di seluruh negara, yang diserang oleh virus pandemik ini.
Muhyiddin berkata kesan tersebut turut dirasai kerajaan, apabila negara mengalami kerugian sekitar RM2.4 bilion setiap hari sepanjang tempoh PKP dilaksanakan, dan jumlah kerugian setakat ini dianggarkan sekitar RM63 bilion.
Jika PKP berterusan untuk tempoh sebulan lagi, Malaysia dilaporkan akan mengalami kerugian RM35 bilion lagi menjadikan jumlah keseluruhan kerugian RM98 bilion, dan ini sudah tentu akan memberikan kesan buruk kepada ekonomi negara dan mengambil masa lama untuk pulih kembali.
Pelbagai reaksi turut diberikan rakyat atas tindakan melaksanakan PKPB ini, dan walaupun ramai yang menzahirkan sokongan serta memahami keputusan yang dibuat oleh kerajaan itu, namun tidak kurang juga menyatakan kebimbangan, langkah itu akan menyebabkan kes positif COVID-19 kembali meningkat.
Segala tindakan kerajaan itu, pastinya dibuat setelah perbincangan mendalam dilakukan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan pelbagai kementerian berkaitan, dalam mencari jalan mengimbangi keperluan untuk memulihkan ekonomi negara dan kepentingan membendung wabak COVID 19.
Kerajaan ternyata mempunyai perancangan yang jelas menggunakan enam strategi utama iaitu ketegasan dalam tindakan mengawal penularan wabak Covid-19 dengan melaksanakan PKP, serta membina ketahanan melalui pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN, untuk meningkatkan kemampuan rakyat dan ekonomi.
Kini kerajaan dalam fasa ketiga iaitu menjana semula ekonomi secara teratur dan terkawal; diikuti melaksanakan strategi pemulihan ekonomi; memperkasa ekonomi secara menyeluruh; dan terakhir menyusun semula struktur ekonomi, untuk menghadapi perubahan kehidupan dengan adanya ‘normal baharu’.
Disebabkan itu juga kerajaan menetapkan pelbagai SOP yang ketat, untuk semua sektor perniagaan yang beroperasi selain menggalakkan sektor awam dan swasta mengamalkan normal baharu pekerjaan, termasuk bekerja dari rumah selain penggiliran jadual harian bekerja untuk membendung virus Covid-19.
Oleh itu sebagai rakyat, kita perlu patuh kepada langkah kerajaan ini membalas jasa petugas barisan hadapan, dengan mematuhi SOP yang telah disediakan untuk mengelak penularan kembali wabak ini.
Patuhi jarakan sosial, kerap mencuci tangan, memakai penutup hidung dan mulut, melaporkan segera kepada Jabatan Kesihatan jika terdapat maklumat mengenai jangkitan COVID-19, dan lindungi kumpulan berisiko seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
Jangan dek keterujaan dengan kelonggaran yang diberikan kerajaan itu kita menjadi alpa, kerana tidak mustahil kes positif Covid-19 kembali meningkat, seperti yang berlaku di Jerman dan Hokkaido, Jepun. Bersama kita perangi Covid-19.
-BERNAMA