Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan benarkan bas sekolah hantar pekerja kilang

SHAH ALAM, 13 MEI: Kementerian Pengangkutan membenarkan bas sekolah digunakan untuk menghantar pekerja kilang susulan sesi persekolahan belum dibuka ketika ini.

Menteri Kanan (kluster keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia antara usaha kerajaan membantu pengusaha bas sekolah yang kehilangan sumber pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac.

“Sekarang ini bas kilang dibenarkan membawa penumpang dengan kapasiti separuh, jadi kalau dulu hantar pekerja satu pusingan sahaja, sekarang mungkin perlu buat dua atau tiga kali penghantaran.

“Jadi Kementerian Pengangkutan buat keputusan, bas kilang boleh guna bas sekolah untuk hantar pekerja. Mereka boleh berbincang untuk bekerjasama semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau juga sekali lagi mengingatkan pengusaha bas sekolah, tidak meminta bayaran tambang daripada ibu bapa memandangkan perkhidmatan itu tidak digunakan sejak pelaksanaan PKP.

Mengenai kanaikan tambang pengangkutan awam susulan kapasiti penumpang dikurangkan, Ismail Sabri berkata Kementerian Pengangkutan meneliti perkara itu dan akan mengemukakan cadangan kepada Kabinet.

Beliau mengakui menerima rungutan daripada pengusaha kenderaan awam, selain penumpang mendakwa dikenakan tambang yang tinggi, termasuk oleh syarikat penerbangan.