Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Raikan Aidilfitri dalam norma baharu

SHAH ALAM, 23 MEI: Dato’ Menteri Besar mengajak rakyat bersama-sama menyambut Aidilfitri dengan norma baharu.

Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter berkata, walaupun jauh bezanya dengan perayaan tahun sebelum ini namun kemeriahannya tetap disyukuri.

“Sambutan Syawal tahun ini penuh rahmat yang tersirat. Sertai saya dan keluarga meraikan Hari Raya Aidilfitri di dalam norma baharu kehidupan,” tulisnya.

Seterusnya, Amirudin, isteri Datin Seri Masdiana Muhamad dan anak-anak mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan maaf zahir dan batin kepada semua penduduk negeri ini.

Pagi tadi, Amirudin melaungkan takbir raya dan menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama keluarganya di kediaman rasminya.

Selaras tatacara mengekang penularan wabak, semua ahli keluarga Dato’ Menteri Besar mengamalkan penjarakan sosial ketika menunaikan solat berjemaah.

Usai solat, Amirudin sekeluarga yang sedondong mengenakan pakaian ungu mengambil kesempatan merakam gambar kenangan di pagi Aidilfitri dan saling bermaafan sebelum menikmati juadah.