Categories
PBT SELANGOR

MDHS: Dua kilang kitar semula jalan operasi tanpa lesen disita

HULU SELANGOR, 15 MEI: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menyita dua kilang kitar semula kerana beroperasi tanpa lesen dalam operasi di Kawasan Perindustrian Zuhrah, Rasa pada 10 Mei lalu.

Pihak berkuasa tempatan itu menerusi Facebook memaklumkan kilang pertama dipercayai menjalankan aktiviti kitar semula plastik berdasarkan kepada bahan dan peralatan melebur plastik yang ditemukan di tapak premis berkenaan.

“Pengurus kilang berkenaan menunjukkan lesen perniagaan yang dimilikinya, namun hasil semakan mendapati aktiviti dijalankan tidak sama dengan aktiviti perniagaan dilesenkan oleh MDHS,” katanya.

MDHS memaklumkan tindakan dibuat mengikut Undang-Undang Kecil 43(1)(a) dan (b),Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan Dan Perindustrian (MDHS) 2007 serta ditutup 14 hari atas kesalahan menjalankan aktiviti perniagaan selain daripada aktiviti yang dibenarkan pihaknya.

“Lesen perniagaan turut diambil untuk proses penggantungan dan pintu utama kilang ini juga dikunci untuk menghalang sebarang aktiviti perniagaan dilakukan,” katanya.

Dalam operasi sama, MDHS turut menyita sebuah kilang memproses aluminium yang beroperasi tanpa lesen di sekitar kawasan berkenaan.

Katanya anggota operasi menemui beberapa palet jongkong aluminium yang setiap satunya dianggarkan mempunyai berat lebih kurang satu tan.

Tindakan diambil di bawah Undang-Undang Kecil 3 dan 38 Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan Dan Perindustrian (MDHS) 2007.

“Barang-barang yang di sita adalah dua unit forklift dan tiga palet jongkong aluminium. Pendakwaan akan diambil jika didapati pemilik tanah dan pengusaha masih ingkar untuk memberhentikan aktiviti perniagaan selagi tidak mendapat kelulusan MDHS,” katanya.