Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MDHS sedia 790 petak bazar Ramadan, babit 10 lokasi

SHAH ALAM, 13 MAC: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menyediakan 790 petak bazar Ramadan kepada peniaga di 10 lokasi tahun ini.

Bahagian korporatnya berkata lokasi membabitkan tapak penjaja JRD, Liga Mas Batang Kali (140); tapak pasar pagi Taman Seri, Batang Kali (70); Taman Cempaka, Serendah (50) dan sebelah medan selera, Sungai Buaya (40).

“Sebanyak 200 petak disediakan di tapak pasar malam, Bukit Sentosa; Jalan Seroja (100); Jalan Telipot (40); Antara Gapi, Serendah (60); Jalan Samudera 1, Hulu Bernam (40) dan Jalan Kantan, Bukit Beruntung (50),” katanya di Facebook.

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan sistem penggiliran akan dilaksanakan terhadap peniaga sebagai mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengelak penularan Covid-19.

“Peniaga yang mendapat tapak nombor lot ganjil akan berniaga pada tarikh ganjil sepanjang Ramadan manakala peniaga yang mendapat tapak nombor lot genap adalah sebaliknya,” katanya.

Permohonan tapak bazar secara dalam talian di portal MDHS boleh dibuat bermula 15 hingga 28 Mac ini dan setiap peniaga dihadkan satu petak dengan harga RM100.

Pemohon yang berjaya akan dimaklumkan melalui sistem pesanan ringkas SMS pada 2 April.

Maklumat lanjut, layari www.mdhs.gov.my atau hubungi Jabatan Pelesenan di talian 03-6064 1331 (sambungan 131/132/159).

Categories
PBT SELANGOR

MDHS siap siaga selaras operasi banjir, aktifkan bilik gerakan

SHAH ALAM, 6 JAN: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) bersiap siaga menyelaras operasi banjir, kata yang dipertuanya.

Dr Mohd Azhar Mohamed Ali berkata pihaknya akan memberi kerjasama penuh kepada semua jabatan dan agensi di daerah itu bagi tangani bencana tersebut.

“MDHS melalui Skuad Pantas dalam keadaan siap sedia membantu termasuk bilik gerakan juga diaktifkan.

“Kita turut sediakan dewan sebagai tempat perlindungan dan pusat pemindahan sementara jika berlaku pemindahan di sekitar Hulu Selangor,” katanya ketika dihubungi.

Pada masa sama, beliau juga meminta KDEB Waste Management memastikan semua longkang dan parit di bawah seliaan MDHS diselenggara dengan baik.

“Hal ini supaya tiada air tersekat dan mengelak berlakunya banjir terutama di kawasan perumahan,” katanya lagi.

Categories
PBT SELANGOR

MDHS periksa premis perniagaan dikendali warga asing

SHAH ALAM, 19 JULAI: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) memeriksa tujuh premis sekitar Jalan Bunga Kertas dan Jalan Orkid, Bukit Sentosa yang dikendalikan warga asing pada 16 Mei lalu, kata yang dipertuanya.

Shukri Mohamad Hamin berkata hasil pemeriksaan mendapati operasi perniagaan dijalankan dengan lesen sah dan pemilik merupakan warga tempatan.

“Tiada tindakan sitaan dibuat bagaimanapun kita ambil lesen pemilik premis untuk siasatan lanjut bagi mendapatkan maklumat lengkap mengenai aktiviti perniagaan yang dijalankan serta maklumat berhubung pekerja asing.

“MDHS turut memberikan notis kepada pemilik itu untuk hadir ke pejabat dalam tempoh tujuh hari, namun jika mereka gagal patuhi arahan lesen perniagaan dibatalkan serta-merta,” katanya dalam kenyataan.

Sejak Mei lalu, MDHS menerima aduan sebanyak 70 premis dikendalikan warga asing di Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung. Daripada aduan itu, 30 premis diperiksa dan lima daripadanya dibatalkan lesen perniagaan.

Categories
PBT SELANGOR

MDHS roboh 56 garaj haram

SHAH ALAM, 25 JUN: Sebanyak 56 garaj dibina tanpa kebenaran di Jalan Meranti, Batang Kali dirobohkan bermula 22 hingga 24 Jun, kata Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

MDHS berkata tindakan diambil mengikut Seksyen 46(1) (a) iaitu halangan di tempat awam Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) susulan operasi khas cegah denggi dan garaj haram pada 22 Januari tahun ini.

“Sebelum ini MDHS mengeluarkan notis arahan membuka dan merobohkan struktur tidak dibenarkan dalam tempoh 30 hari pada 5 Februari kepada pemilik struktur.

“Semasa perobohan penduduk memberi kerjasama kepada pihak MDHS dengan membuka sendiri struktur binaan susulan notis diterima pada Februari lalu,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

MDHS berkata empat traktor dan lori digunakan untuk meroboh serta mengangkut sisa ke tapak pelupusan Sungai Sabai.

“Orang ramai dinasihat mematuhi peraturan dan jangan membina struktur di rizab kerajaan. MDHS tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil kepada pihak yang masih berdegil,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Bukan bazar Ramadan, tapi tapak berniaga sementara penjaja – MDHS

SHAH ALAM, 23 MEI: Insiden pemandu sebuah pacuan empat roda melanggar gerai penjaja di pekan Bukit Sentosa semalam berlaku di atas tapak berniaga sementara berpusat bagi penjaja tepi jalan berlesen bukan bazar Ramadan, maklum Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

Yang Dipertuanya Shukri Mohamad Hamin menjelaskan pihaknya memberikan kebenaran berniaga kepada 36 penjaja tepi jalan berlesen di tapak itu bermula 13 Mei lalu selaras dengan arahan Kerajaan Negeri dan kebenaran Majlis Keselamatan Negara bertarikh 4 Mei 2020.

“Untuk makluman awam, lesen bazar dan lesen penjaja adalah berlainan. Lesen bazar Ramadan hanya diberikan permit untuk berniaga selama sebulan sahaja manakala lesen penjaja sah untuk tempoh setahun.

“Tahun ini, seramai 200 peniaga yang telah memohon lesen bazar Ramadan di kawasan berkenaan. Bagaimanapun, permohonan terpaksa dibatalkan oleh MDHS disebabkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata setiap penjaja diberikan kebenaran berniaga tertakluk kepada syarat-syarat seperti penggiliran hari berniaga, mengamalkan penjarakkan sosial antara tapak berniaga (1 meter) dan penetapan waktu berniaga bermula jam 3 petang hingga 10 malam sepanjang bulan Ramadan.

Katanya, tapak niaga sementara berpusat disediakan bagi memudahkan pemantauan dan kawalan dilakukan penguatkuasa MDHS dengan kerjasama polis dan RELA manakala peniaga ingkar berdepan tindakan pembatalan lesen serta sitaan barangan.

Semalam tular video menunjukkan sebuah kenderaan pacuan empat roda melanggar gerai penjaja serta orang awam di tapak penjaja Pekan Bukit Sentosa dipercayai dipandu dalam keadaan mabuk.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata lelaki berusia 32 tahun yang ditahan bekerja sebagai pemborong tayar, melanggar gerai serta pengunjung di tapak penjaja itu, menyebabkan lima orang awam cedera.

Beliau berkata lelaki terbabit tidak mempunyai rekod jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 (11) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Categories
PBT SELANGOR

MDHS sedia 58 unit tong RORO sempena Aidilfitri

SHAH ALAM, 18 MEI: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menyediakan 58 unit tong ‘Roll On Roll Off’ (RORO) bagi memudahkan orang ramai membuang sampah pukal sempena perayaan Aidilfitri.

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan perkhidmatan tersebut disediakan di beberapa kawasan terpilih berdasarkan permintaan dan aduan penduduk bermula 15 hingga 25 Mei ini.

“Penduduk diminta membuang sisa pukal (perabot terpakai, almari dan peti ais), sisa elektronik (telefon bimbit dan komputer), sisa kebun (sisa cantasan pokok dan sisa mesin rumput) ke dalam tong berkenaan.

“Sisa domestik (dapur atau rumah) dan sisa elektronik adalah tidak dibenarkan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Senarai lokasi adalah seperti berikut :

1. Tapak Pasar Pagi Ulu Yam Baru
2. Desa Kelisa Ulu Yam Baru
3. Rumah Murah Batu 30, Ulu Yam Lama
4. Antara Gapi
5. Taman Seri Cahaya, Batang Kali
6. Taman Seri, Batang Kali
7. Medan Selera, Batang Kali
8. Desa Alam Ria, Batang Kali
9. Tamu Hill, Batang Kali
10. Kg. Rasa Tambahan
11. Perumahan Ros 2, Bukit Sentosa
12. Taman Tempua Bestari
13. Taman Titiwangsa
14. Taman Musabika
15. Rumah Murah Hulu Bernam
16. Kg. Seri Geriang
17. Taman Lembah Damai, Kerling
18. Kg Air Panas Kerling
19. Perumahan Tanjung, Bukit Sentosa – 2 unit
20. Perumahan Teluki, Bukit Sentosa
21. Perumahan Jenjarum, Bukit Sentosa
22. Perumahan Tulip, Bukit Sentosa
23. Perumahan Cempaka 1 tingkat , Bukit Sentosa
24. Perumahan Daisi, Bukit Sentosa
25. Perumahan Ros 1, Bukit Sentosa
26. Perumahan Mawar, Bukit Beruntung
27. Perumahan Kekwa, Bukit Beruntung
28. Perumahan Inai/ Melur, Bukit Beruntung
29. Perumahan Anggerik/ Kemboja, Bukit Beruntung
30. Lot Banglo Anggerik/ Kemboja, Bukit Beruntung
31. Perumahan Adenium 2, Bukit Beruntung
32. Lot Banglo Anggerik Prima Bukit Beruntung
33. Lot Banglo Mawar Prima Bukit Beruntung
34. Perumahan Semarak Bukit Beruntung
35. Perumahan Widuri Bukit Beruntung
36. Perumahan Kesumba 3A Bukit Beruntung
37. Perumahan Tanjung Bukit Beruntung
38. Perumahan Kasturi Bukit Beruntung
39. Taman Serendah Makmur Serendah
40. Taman Tasik Teratai Fasa 1, Serendah
41. Kg. Seri Serendah, Serendah
42. Taman Desa Melor, Serendah
43. Taman Desa Anggerik 1, Serendah
44. Taman Desa Anggerik 2, Serendah
45. Perumahan Rampaisari, Sg. Buaya
46. Perumahan Melursari, Sg. Buaya
47. Perumahan Cemperaisari, Sg. Buaya
48. Persiaran Bakawali, Sg. Buaya
49. Persiaran Utama, Sg. Buaya
50. Taman Ehsan Ibu Fasa 1, Sg. Choh
51. Kg. Tradisi, Sg. Choh
52. Taman Ariff dan Taman Teratai, KKB
53. Perumahan Padang Golf, KKB
54. Perumahan Padang Tembak, KKB
55. Taman Seruling, KKB
56. Pangsapuri MDHS (kuarters MDHS), KKB
57. Taman Keruing, Rasa

Categories
PBT SELANGOR

MDHS: Dua kilang kitar semula jalan operasi tanpa lesen disita

HULU SELANGOR, 15 MEI: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menyita dua kilang kitar semula kerana beroperasi tanpa lesen dalam operasi di Kawasan Perindustrian Zuhrah, Rasa pada 10 Mei lalu.

Pihak berkuasa tempatan itu menerusi Facebook memaklumkan kilang pertama dipercayai menjalankan aktiviti kitar semula plastik berdasarkan kepada bahan dan peralatan melebur plastik yang ditemukan di tapak premis berkenaan.

“Pengurus kilang berkenaan menunjukkan lesen perniagaan yang dimilikinya, namun hasil semakan mendapati aktiviti dijalankan tidak sama dengan aktiviti perniagaan dilesenkan oleh MDHS,” katanya.

MDHS memaklumkan tindakan dibuat mengikut Undang-Undang Kecil 43(1)(a) dan (b),Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan Dan Perindustrian (MDHS) 2007 serta ditutup 14 hari atas kesalahan menjalankan aktiviti perniagaan selain daripada aktiviti yang dibenarkan pihaknya.

“Lesen perniagaan turut diambil untuk proses penggantungan dan pintu utama kilang ini juga dikunci untuk menghalang sebarang aktiviti perniagaan dilakukan,” katanya.

Dalam operasi sama, MDHS turut menyita sebuah kilang memproses aluminium yang beroperasi tanpa lesen di sekitar kawasan berkenaan.

Katanya anggota operasi menemui beberapa palet jongkong aluminium yang setiap satunya dianggarkan mempunyai berat lebih kurang satu tan.

Tindakan diambil di bawah Undang-Undang Kecil 3 dan 38 Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan Dan Perindustrian (MDHS) 2007.

“Barang-barang yang di sita adalah dua unit forklift dan tiga palet jongkong aluminium. Pendakwaan akan diambil jika didapati pemilik tanah dan pengusaha masih ingkar untuk memberhentikan aktiviti perniagaan selagi tidak mendapat kelulusan MDHS,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MDHS: Kilang ayam punca lalat dikompaun

SHAH ALAM, 9 MEI: Sebuah kilang ternakan ayam dikompaun dan diberi notis amaran selepas dipercayai menjadi punca lalat di kawasan Kampung Sungai Jang, Kerling di Hulu Selangor.

Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) memaklumkan premis yang menternak kira-kira 140,000 ayam itu beroperasi dengan kelulusan Kebenaran Merancang (KM) untuk bangunan sedia ada, tetapi tiada pindaan pelan lulus bagi tambahan reban.

MDHS memaklumkan pemilik premis pernah membuat permohonan pindaan KM pada akhir 2019 namun perlu mendapatkan ulasan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) terlebih dahulu bagi reka bentuk kolam tadahan mereka.

“Selain itu, premis didapati tidak mempunyai lesen perniagaan sah serta tiada pelan bangunan.

“Premis turut gagal menyediakan kawasan pelupusan sisa tinja dan kolam rawatan air mengikut garis panduan,” kata pihak berkuasa tempatan itu menerusi kenyataan.

Sehubungan itu, MDHS mengeluarkan notis kacau ganggu dan kompaun berkaitan kacau ganggu lalat, kompaun beroperasi tanpa lesen, dan membina bangunan tanpa kebenaran.

“Amaran juga diberi untuk memperbaiki kawalan lalat di dalam premis serta tempoh tujuh hari kepada pemilik premis memastikan kacau ganggu lalat dikurangkan kepada kadar minimum dan melaksanakan pelupusan sisa tinja mengikut syarat KM.

“Pihak Majlis sentiasa memantau perkembangan premis ini untuk memastikan ia mengambil tindakan seperti diarahkan.

“Sekiranya ingkar, premis berkenaan boleh dikenakan tindakan penutupan selama 14 hari dan boleh dibawa ke mahkamah atas kesalahan menyebabkan kacau ganggu kepada penduduk dan alam sekitar,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

PKP: Pastikan patuh, MDHS sasar periksa 500 kilang

SHAH ALAM, 5 APRIL: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menyasarkan 500 kilang diperiksa bagi memastikan pematuhan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini, kata yang dipertuanya.

Shukri Mohamad Hamin berkata setakat kelmarin, sembilan premis diperiksa di beberapa kawasan perindustrian antaranya Zuhrah Rasa, Bukit Beruntung (Jalan Kamunting, Jalan Kenanga dan Jalan Jasmin), Jalan Kesidang Sungai Choh, Ulu Yam Lama termasuk perkampungan perabot Ulu Yam Bharu.

“Terdapat dua premis beroperasi tidak mendapat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Majlis Keselamatan Negara iaitu sebuah kilang kertas di Rasa dan kilang kitar semula plastik di Jalan Kenanga, Bukit Beruntung.

“Kedua-dua premis terbabit diberikan arahan untuk menghentikan operasi serta merta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan menggantung dan membatalkan lesen perniagaan jika pengusaha kilang didapati masih mengingkari arahan PKP.

Categories
PBT SELANGOR

MDHS sita kilang operasi secara haram, langgar PKP

SHAH ALAM, 31 MAC: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menutup dan menyita kilang kitar semula sisa plastik di Jalan Kamunting 2B yang didapati beroperasi secara haram dan tidak mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata yang dipertuanya.

Shukri Mohamad Hamin berkata tindakan diambil mengikut Undang-undang Kecil 3, Undang-undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perindustrian MDHS 2007 serta gagal mematuhi PKP.

Tambah beliau pemilik premis pernah dikenakan tindakan sebelum ini atas kesalahan operasi tanpa lesen dan kebersihan.

“Kami beri peringatan kepada semua pemilik premis supaya mematuhi undang-undang dikeluarkan MDHS dalam menjalankan aktiviti perniagaan dan tolong patuhi PKP. Jika ada yang masih berdegil tindakan lebih serius bakal diambil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi membabitkan 10 penguatkuasa MDHS dan polis itu turut menyita dua forklift dan satu alat penimbang digital termasuk dua pekerja warganegara Bangladesh juga ditahan.

Sebelum ini, MDHS menjalankan operasi pemantauan dan pematuhan arahan PKP terhadap peniaga premis dan penjaja di kawasan pekan Hulu Yam Bharu, Antara Gapi, Serendah dan Sungai Choh dan didapati 90 peratus patuh arahan.

Categories
PBT SELANGOR

Sebar panduan beli barang, MDHS tangani Covid-19

SHAH ALAM, 26 MAC: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) terus menguatkuasakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membabitkan peniaga serta penjaja bagi mengekang penularan wabak Covid-19, kata yang dipertuanya.

Shukri Mohamad Hamin berkata anggota penguat kuasa giat menampal notis makluman dan pengumuman semua premis pasar awam mengenai panduan membeli barangan ketika PKP.

“Berdasarkan pemantauan sehingga hari ini, kawasan tumpuan orang ramai seperti pasar awam, pasar raya, kedai runcit, stesen minyak dan mesin juruwang automatik masih terkawal sekali gus menunjukkan masyarakat mulai sedar serta patuh arahan.

“Malah, rata-rata penjawat awam juga sudah terima gaji kemungkinan ramai  berpusu-pusu  beli  keperluan. Namun, saya menyeru kepada semua teruskan momentum sedia ada mematuhi PKP dengan terus berada di rumah dan jangan “panic buying”,”  katanya dalam kenyataan hari ini.

MDHS menasihatkan individu atau ketua keluarga yang keluar membeli barang atau makanan amalkan lima langkah penting selepas pulang ke rumah iaitu:

– Buka topeng muka masukkan ke dalam plastik dan buang ke dalam tong sampah.
– Elakkan menyentuh, memeluk anak dan ahli keluarga.
– Pergi ke tandas buka pakaian dan rendam didalam sabun
– Mandi dengan membersihkan muka, tangan seluruh tubuh badan dengan sabun.
– Baru bertemu keluarga.

Categories
PBT SELANGOR

MDHS beri sumbangan kepada keluarga terjejas perintah kawalan

SHAH ALAM, 26 MAC: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) memberi sumbangan khas kepada kira-kira 50 keluarga di kawasan pentadbirannya yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac lalu, kata yang dipertuanya.

Shukri Mohamad Hamin berkata bantuan sosial itu termasuk bekalan barangan asas seperti beras, sardin, bihun, telur, gula, garam, kicap dan minyak

“Kita faham masalah dihadapi masyarakat terutama golongan peniaga dan penjaja kecil, jadi kita harap bantuan seperti ini meringankan beban mereka,” katanya menambah bantuan diedarkan secara berperingkat.

Beliau berkata MDHS melalui Jawatankuasa Bencana Daerah (JBD) akan mengagihkan terus kepada penerima yang layak khususnya warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan penjaja kecil serta individu bergantung gaji harian tanpa memerlukan proses permohonan.

“Kita menyelaraskan senarai penerima bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat, Lembaga Zakat Selangor dan Pejabat Parlimen untuk mengelakkan pertindihan nama penerima melalui JBD,” katanya.

Program mendapat kerjasama Ahli Majlis turut menghulurkan sumbangan kepada golongan memerlukan di beberapa masjid antaranya Masjid Serendah, Masjid Bandar Baru Batang Kali, Masjid Saidina Ali dan Bukit Sentosa.