Categories
PBT SELANGOR

MPK pantau semua operasi projek pembinaan 

SHAH ALAM,29 MEI: Majlis Perbandaran Klang (MPK) memantau semua projek pembinaan yang beroperasi bagi memastikan ia mempunyai kelulusan pihaknya dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

MPK berkata, pemantauan dilakukan setiap hari dan pihaknya turut menyemak sama ada pemilik syarikat mematuhi syarat ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Jika melanggar syarat seperti menjalankan kerja tanpa kelulusan, notis berhenti kerja akan dikeluarkan kepada perunding dan pemaju projek selain dimaklumkan kepada MITI,” katanya di Facebook hari ini.

MPK berkata, semua pemaju perlu memberi maklumat pekerja asing yang terbabit dengan projek mereka seperti rekod kehadiran manakala semakan permit dilakukan Jabatan Imigresen.

Mengulas lanjut, MPK berkata sebelum memulakan operasi, perunding atau kontraktor perlu menyerahkan pelan pencegahan wabak Covid-19 yang merangkumi jumlah pekerja, tempat tinggal, rekod keluar masuk pembekal di tapak pembinaan dan rekod suhu badan pekerja.

“Mereka juga perlu mengemukakan beberapa dokumen seperti kelulusan beroperasi daripada MITI, pelan tindakan keselamatan tapak dan kelulusan pelan bangunan,” katanya.