SHAH ALAM, 8 MEI: Dato’ Menteri Besar hari ini menerangkan kaedah penggunaan aplikasi SELangkah yang ringkas dan mudah dalam melindungi pengguna serta pemilik premis daripada ancaman Covid-19.
Penerangan Langkah Masuk Dengan Selamat dikongsi Dato’ Seri Amirudin Shari di semua platform media sosialnya dan portal www.amirudinshari.com
Demonstrasi dimulakan dengan penjelasan mengenai fungsi inisiatif tersebut disusuli tatacara 3S iaitu sanitasi, suhu dan scan (imbas kod QR) ketika melangkah masuk ke mana-mana premis.
“Selepas membuat imbasan kod QR, saudara sudah merekodkan nombor telefon dan masa memasuki premis tersebut. Itu sahaja maklumat yang disaring atau diambil, maklumat lain kekal sulit.
“Dengan itu, pihak jabatan kesihatan negeri dan Kementerian Kesihatan mudah untuk menghubungi anda bagi melakukan saringan dan mengesan sama ada dijangkiti Covid-19 ataupun tidak,” kata Amirudin.
Beliau berkata SELangkah bukan sahaja menjamin keselamatan dan mengesan tetamu yang datang malah membantu memutuskan rantaian Covid-19.
Aplikasi yang diperkenalkan pada 4 Mei lalu bertujuan merekod pendaftaran keluar masuk individu ke premis perniagaan atau jabatan kerajaan bagi mencegah penularan virus.
Setakat ini, sebanyak 33,241 orang menggunakan aplikasi tersebut.