Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN tekad mahu kembalikan mandat rakyat

SHAH ALAM, 17 MEI: Pakatan Harapan (PAKATAN) dan sekutu mereka sebulat suara bertekad untuk meningkatkan usaha mengembalikan mandat rakyat.

Dalam kenyataan media yang ditandatangani presiden dan pemimpin utama parti serta sekutu mereka, PAKATAN mahu memberi keutamaan untuk mengambil alih semula kerajaan.

“Ini kerana mesyuarat bersependapat bahawa wujudnya masalah keabsahan (legitimacy) kerajaan yang berlaku akibat kegagalan Tan Sri Muhyiddin Yassin menguji sokongan beliau di kalangan ahli-ahli Parlimen di Parlimen pada esok hari,” kata kenyataan itu hari ini.

PAKATAN juga bimbang dengan tingkah laku kerajaan yang dilihat cuba meraih sokongan ahli parlimen melalui pemberian jawatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan duta bertaraf menteri.

“Ini adalah amalan yang tidak baik dan merosakkan perjalanan reformasi institusi yang dimulakan lebih 22 bulan yang lalu,” kata kenyataan berkenaan.

Dalam kenyataan sama, PAKATAN turut mempertikai kewujudan beberapa kementerian baharu sedangkan peruntukan bagi kementerian itu belum dibentang atau diluluskan di Parlimen.

“Ini semestinya akan menimbulkan persoalan berkenaan perjalanan urusan serta sebarang perbelanjaan yang berkait dengan kementerian-kementerian ini,” katanya.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Shafie Apdal.