Categories
PBT SELANGOR

Petugas MPK buat saringan Covid-19 percuma, inisiatif Poliklinik Botanik

SHAH ALAM, 5 MEI: Kira-kira 300 petugas barisan hadapan Majlis Perbandaran Klang (MPK) mendapat perkhidmatan saringan kesihatan dan Covid-19 percuma yang disediakan oleh Poliklinik Botanik.

Poliklinik terletak di Bandar Botanik, Klang itu menyediakan saringan percuma tersebut bermula pada 16 April lalu.

Menerusi kenyataan di Facebooknya, MPK merakamkan penghargaan kepada poliklinik terbabit atas inisiatif tersebut.

Sementara itu, Pengarah Poliklinik Botanik, Dr Pratap Naidu berkata inisiatif itu dilaksanakan bagi menghargai petugas barisan hadapan yang berusaha menangani penularan Covid-19.

“Sedikit isyarat #Lightitblue (cahaya biru) dari Poliklinik Botanik untuk petugas barisan hadapan yang bekerja tanpa henti untuk mengatasi Covid-19. Anda membuatkan kami bangga menjadi rakyat Malaysia!,” katanya.

Poliklinik Botanik turut memasang cahaya biru pada bahagian hadapan premisnya, sebagai tanda menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan negara memerangi Covid-19.