Categories
AGENSI PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

SELangkah lengkapi aplikasi MySejahtera, MyTrace

SHAH ALAM, 4 MEI: Inisiatif SELangkah diperkenalkan Kerajaan Negeri akan membantu melengkapi aplikasi mobil MySejahtera dan MyTrace bagi memudahkan urusan pengesanan kontak kes Covid-19.

Menerusi soalan lazim (FAQ) di laman www.amirudinshari.com semalam, kenyataan itu menjelaskan SELangkah atau Langkah Masuk Dengan Selamat menggunakan teknologi kod QR yang universal dan boleh digunapakai telefon bimbit dengan sistem pengoperasian iOS ataupun Android.

“Terdapat beberapa aplikasi mobil yang sedia ada disediakan seperti MySejahtera, MyTrace bagi memudahkan urusan pengesanan kontak. SELangkah menggalakkan rakyat memuat turun aplikasi tersebut.‍

“Ia merupakan ikhtiar yang akan melengkapkan atau komplimentari kepada kaedah berkaitan terutama kepada mereka yang mempunyai telefon bimbit tidak sesuai bagi aplikasi mobil, dalam keadaan kehausan bateri, ataupun golongan bukan penduduk tetap,” katanya dalam penjelasan perbezaan SELangkah dengan aplikasi mobil sedia ada.

Selain itu data disimpan dalam SELangkah hanya tarikh dan masa pengunjung di sesuatu kedai atau premis, selain nombor telefon. Ini akan membentuk log kehadiran bagi sesuatu premis.‍

“Sekiranya terdapat kes Covid-19 dikesan di premis perniagaan tersebut, log kehadiran ini akan diaktifkan pegawai kesihatan awam, bagi memudahkan tujuan menghubungi pelanggan lain yang berkemungkinan terdedah kepada risiko jangkitan wabak,” katanya.

SELangkah juga merupakan penyelesaian yang berpusatkan premis (premis-centric) berbanding individu (individual-centric), dan hanya menyimpan log kehadiran semasa urusan lawatan atau jual beli.

Untuk sebarang maklumat lanjut berhubung inisiatif SELangkah, boleh layari laman www.selangkah.mbiselangor.com.my atau www.selangkah.my