Categories
AGENDA NASIONAL

Semua kaunter perkhidmatan kerajaan dibuka sepenuhnya

SHAH ALAM, 13 MEI: Mesyuarat Kabinet hari ini memutuskan semua pejabat kerajaan terutamanya kaunter perkhidmatan boleh dibuka sepenuhnya, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah mula beroperasi sepenuhnya hari ini dan akan diikuti oleh jabatan kerajaan yang lain.

Sehubungan itu, katanya, semua tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan kerajaan hendaklah dipatuhi seperti melakukan saringan suhu badan, mengamalkan penjarakan sosial dan menyediakan cecair pembasmi kuman dipintu masuk.

“Pejabat yang terlibat juga perlu dinyahkuman terlebih dahulu sebelum beroperasi,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.