Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Kes baharu 41, satu kes bayi sembilan bulan

SHAH ALAM, 15 JUN: Sebanyak 41 kes baharu positif Covid-19 dikesan hari ini termasuk membabitkan seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes bayi tersebut dikesan menerusi kes import dari Singapura dan catatan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes 8,464 serta kes aktif dengan kebolehjangkitan wabak 973 kes.

“Sebanyak 54 kes pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh 7,400 atau 87.1 peratus daripada keseluruhan kes manakala tiada kematian dilaporkan menjadikan jumlahnya kekal 121 kes,” katanya dalam sidang media di Putrajaya.

Sehingga kini empat kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

Demikian perincian 41 kes baharu hari ini:

– Tiga kes import warganegara yang mendapat jangkitan di luar negara.

– 38 kes penularan di dalam negara, daripada jumlah itu 32 membabitkan warga asing dan enam adalah di kalangan warganegara Malaysia.