Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Kes baharu di Selangor kembali dua digit

SHAH ALAM, 6 JUN: Kes baharu positif Covid-19 negeri ini kembali naik dua digit selepas 14 kes dilaporkan hari ini dengan separuh daripadanya di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pentadbiran di Kuala Langat.

Statistik Bilik Gerakan Covid-19 negeri turut mencatatkan satu kes import jangkitan dari Qatar.

“Tiga kes dicatat di Hulu Langat termasuk satu kes tabligh An-Nabawiyyah. Satu kes turut dilaporkan di Sepang.

“Dua kes lagi membabitkan pusat tahfiz, masing-masing di Pusat Tahfiz Sungai Kelambu, Kuala Langat dan Pusat Tahfiz Nur Tareem, Petaling,” katanya.

Sementara itu, data Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menunjukkan jumlah keseluruhan kes di negeri ini mencecah 1,953 kes setakat hari ini.

Mukim Tanjung 12 dan Ampang dikategorikan zon kuning selepas mancatat kes aktif manakala Sepang menjadi zon hijau susulan kes sifar.

“Ingat! Warga Selangor masih tertakluk dengan PKPBD (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai) dan sebarang pelanggaran boleh dijatuhi hukuman,” katanya menerusi Twitter.